
Azalina dalam satu kenyataan berkata, jawapan balas beliau kepada surat peguam bekas perdana menteri itu Tetuan Shafee & Co adalah selaras dengan jawapannya di Dewan Rakyat pada 23 Feb lalu.
“Saya memaklumkan bahawa Laporan SPRM terhadap Nazlan telah dikemukakan pada tarikh yang sama kepada Ketua Hakim Negara berhubungan pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009.
“Saya juga memaklumkan dalam Dewan Rakyat bahawa perkara ini juga tertakluk kepada keputusan Ketua Hakim Negara selaras dengan Fasal-Fasal 3 dan 3A Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa kerajaan sentiasa menghormati dan terus berpegang kepada prinsip doktrin pengasingan kuasa.
Terdahulu hari ini, Azalina mengesahkan siasatan SPRM ke atas Nazlan menyimpulkan beliau melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes SRC International,
Katanya ini berdasarkan salinan laporan penemuan SPRM bertarikh 20 Feb yang dipanjangkan oleh agensi itu kepadanya.
Surat itu, yang bertarikh 20 Feb, menyatakan bahawa siasatan SPRM mendapati “terdapat isu salah laku” oleh Nazlan yang “perlu dipertimbangkan oleh ketua hakim negara”.
Pada 24 Feb lepas, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun menuduh SPRM tidak mengikut protokol ketika menjalankan siasatan terhadap Nazlan.
Nazlan, kini hakim di Mahkamah Rayuan, telah mensabitkan Najib pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah lebih RM42 juta dana milik SRC International.
Beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib. Rayuan Najib kepada Mahkamah Rayuan telah ditolak pada Disember 2021. Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lepas mengekalkan sabitan dan hukuman itu.
Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun sejurus selepas keputusan Mahkamah Persekutuan.