
Mengenang kembali zaman Biro Tata Negara dahulu, Syed Saddiq berkata, beliau tidak dapat melupakan cara pihak penganjur ‘mendedahkan’ ilmu pengetahuan politik di kalangan golongan muda menerusi unsur-unsur maki hamun musuh politik.
“Dia tunjuk muka beberapa pemimpin pembangkang lepas tu dia maki dengan menunjukkan perkara berkaitan seks. Bila dia tunjuk parti politik ini, aman damai, jaga ni jaga tu. Pendidikan politik kalau dilihat dari lensa parti politik hancurlah kita.
“Kalau mereka nak hidupkan lagi sistem seperti ini, saya akan jadi orang pertama menentang dan melawan. Jangan dulu kita berada di sudut pembangkang kita lawan, tapi apabila jadi kerajaan kita buat balik ikut cita rasa kita. Ini tak betul,” katanya pada Sesi Dialog Siswa di Kompleks Karangkraf.
Tambahnya, cara terbaik bagi memupuk ilmu pengetahuan politik di kalangan anak muda ialah menerapkan unsur demokrasi seawal mungkin, seperti di peringkat sekolah.
“Dedahkan mereka dari awal dan lakukan. Guru bukan hanya cakap demokrasi menerusi buku teks sahaja, tetapi mempraktikkannya dalam kelas mahupun aktiviti seharian.
“Di peringkat universiti pula, kesemua persatuan mahasiswa perlu diperkasakan untuk mengadakan program bersertaan dana bagi melakukan perkara ini,” katanya.
Kelmarin, Pemuda Umno bercadang mengadakan program untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan politik dalam kalangan pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT).
Ketuanya Muhamad Akmal Saleh berkata program pengkaderan seperti itu penting menjelang mereka mencecah usia layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-16.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, anak muda perlu jelas dengan pindaan terhadap Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 kerana bukan semua perkara yang perlu dipinda.
Katanya, fokus yang diutamakan ialah hak mahasiswa serta isu akademik seperti pemilihan timbalan naib canselor dan juga institusi pentadbiran.