
Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh, berkata operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota bahagian perisikan dan operasi khas dengan kerjasama Bank Negara (BNM) menyerbu 10 premis disyaki menjalankan aktiviti itu yang dikendalikan warga asing dari Bangladesh, India, dan Indonesia.
Katanya, selain itu 29 warga asing berusia lingkungan 26 hingga 40 tahun turut ditahan.
Beliau berkata, sindiket beroperasi di restoran, kedai runcit, kedai kosmetik dan kiosk menjual peralatan elektronik bagi menutup jejak sebenar aktiviti pengurup wang tanpa lesen itu dikesan mengenakan bayaran murah bagi menguruskan kiriman wang ke luar negara.
“Pasukan operasi turut merampas wang tunai berjumlah RM300,527.00 yang disyaki hasil aktiviti pengurup wang, telefon bimbit, buku dan dokumen rekod kiriman wang ke luar negara seperti Bangladesh dan Indonesia.
“Berdasarkan jumlah wang tunai yang dirampas sindiket ini dianggarkan mampu menguruskan kiriman wang ke luar negara mencecah RM108 juta setahun,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, semua ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Mereka kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.