
Projek pembangunan semula pasar Lebuh Campbell akan merangkumi rumah kedai, tempat letak kenderaan dan “bilik studio” yang akan dibina oleh majlis itu sendiri. Rekod awam menunjukkan majlis meluluskan perancangan itu dalam masa 22 hari.
Dalam permohonan perancangan dikemukakan pada Februari 2022, MBPP juga mencadangkan untuk “memulih dan mengekalkan” bahagian hadapan pasar itu. Majlis itu dalam jawapan segera berkata, ia akan menunggu maklum balas Unesco sebelum meneruskan projek.
Keputusan itu ditentang Mark Lay daripada George Town Heritage Action. Beliau berkata, bahagian belakang pasar itu ialah binaan tambahan yang dibangunkan pada pertengahan 1900-an, tetapi kini tidak digunakan.
“Walaupun ia mungkin tidak digunakan sekarang, semuanya terlalu bernilai untuk diganggu,” katanya.
“Tidak perlu bina bangunan lima tingkat di sana, (rancangan itu) merepek.”
Lay berkata, turut mengejutkan bahawa tapak pembangunan itu dikhaskan sebagai tapak warisan Kategori II dalam draf Rancangan Kawasan Khas (SAP) George Town dan digantikan dengan “infill” atau penanda bagi kemungkinan pembangunan semula.

“Mengecewakan apabila ia dinyahsenarai, dan projek akan dilancarkan tanpa sebarang perbincangan dengan pihak berkepentingan. Unesco harus melihat tapak itu sebelum apa-apa dibina,” katanya.
Pesuruhjaya Warisan Negeri, Rosli Nor, berkata berdasarkan draf SAP, bahagian belakang pasar itu dibenarkan untuk pembangunan semula, bagi menambah baik karakter tapak tersebut.
Beliau berkata, Majlis Antarabangsa untuk Monumen dan Tapak Warisan (Icomos), yang menasihati Unesco mengenai perkara berkait Tapak Warisan Dunia, akan meneliti cadangan pembangunan itu.

Sementara itu, jurucakap MBPP berkata, panel semakan teknikal meluluskan projek terbabit tahun lalu, termasuk pembaikpulihan pasar Lebuh Campbell.
“Cadangan pembangunan dirujuk kepada Jabatan Warisan Negara, yang akan merujuk Pusat Warisan Dunia Unesco untuk mendapatkan ulasan lanjut,” katanya.
Pasar Lebuh Campbell dibina pada 1901 di atas tapak tanah perkuburan Melayu lama, dikenali sebagai “Hutan Mayat”. Tanah perkuburan itu terletak di pinggir tanah yang disediakan bagi masyarakat India Muslim untuk pembinaan Masjid Kapitan Keling sekitar 1800-an.
Majlis bandar raya membeli tanah perkuburan milik masjid itu untuk membina pasar dan balai polis dengan kos 21,000 dolar Selat, menurut satu edaran majlis pada 2016.

Tanah perkuburan itu digantikan dengan sebidang tanah di Jalan Perak. Balai polis pusat yang dibina masih berdiri di belakang pasar itu sehingga hari ini.
Di tengah-tengah pasar itu terletak makam Syeikh Mustafa Wali, seorang pendakwah dari Afghanistan. British berdepan masalah memindahkan makam itu lalu memutuskan untuk mengekalkannya di sana, yang dipagari tembok. Tapak ini kekal sebagai warisan Kategori I.
Pasar Lebuh Campbell sebelum ini dikenali sebagai pasar Lebuh Carnarvon, kerana ia terletak antara dua jalan itu. Pasar itu adalah yang kedua di pusat bandar, selepas Chowrasta, yang terletak kira-kira 1km dari situ.