Penjawat awam Kedah dapat ‘duit raya’ RM1,000

Penjawat awam Kedah dapat ‘duit raya’ RM1,000

Bantuan Khas Aidilfitri melibatkan 5,100 penjawat awam itu akan disalurkan pada 18 April ini.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata pemberian bantuan khas itu sebagai tanda ingatan kepada penjawat awam untuk melakukan persiapan Aidilfitri tidak lama lagi. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Seramai 5,100 penjawat awam di Kedah akan menerima Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 setiap seorang yang akan disalurkan pada 18 April ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata keputusan untuk meluluskan Bantuan Khas Aidilfitri itu dibuat menerusi mesyuarat Exco kerajaan negeri yang dipengerusikannya, hari ini.

“Kelulusan ini melibatkan semua kakitangan awam yang membabitkan peruntukan sebanyak RM5.1 juta.

“Ini merupakan sedikit tanda ingatan daripada kerajaan negeri kepada kakitangan awam dan bolehlah mereka membeli barangan untuk persiapan raya nanti,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Selain itu, Sanusi memaklumkan mesyuarat Exco kerajaan negeri turut bersetuju untuk melantik Majlis Ketua Kampung (MKK) bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP).

“Sebelum ini, kita guna Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tapi selepas dimansuhkan, ia ditukar kepada JKKP. Jadi kita ingin kekalkan JKKP tetapi tukar nama baharu kepada MKK sahaja.

“Ia akan melibatkan peruntukan tahunan berjumlah RM13.8 juta bagi membayar elaun kepada MKK ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.