Penganalisis tolak dakwaan pemimpin Umno tak puas hati dengan Zahid

Penganalisis tolak dakwaan pemimpin Umno tak puas hati dengan Zahid

Majoriti pemimpin Umno sedia ada adalah orang presiden dan ia bermakna perbalahan dalaman parti juga semakin berkurangan.

Dua bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan sebelum ini mendakwa ramai pimpinan Umno semakin tidak berpuas hati dengan Ahmad Zahid Hamidi.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik menolak dakwaan pemimpin tertinggi Umno semakin tidak berpuas hati dengan Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak semakan kes rasuah Najib Razak.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, kira-kira 80% barisan kepimpinan Umno sekarang terdiri daripada “orang Zahid”.

“Zahid yang mengawal. Dan majoriti pesaingnya seperti Khairy Jamaluddin, Annuar Musa dan Shahril Hamdan sudah disingkirkan. Ini bermakna perbalahan dalaman berkurangan,” katanya kepada FMT.

Khairy dan Annuar dipecat Umno Februari lalu, manakala Shahril digantung keahlian selama enam tahun.

Isnin lalu, Khairy dan Shahril mendakwa wujud rasa tidak puas hati terhadap Zahid dalam Umno.

Ketidakpuasan hati itu, menurut dua bekas pemimpin Umno itu, berpunca daripada keputusan Mahkamah Persekutuan menolak semakan semula sabitan dan hukuman dalam kes rasuah SRC International membabitkan Najib.

Azmi bagaimanapun merasakan percubaan Najib untuk menyemak semula kesnya hanya memberi kesan minimum kepada Zahid.

Katanya, tindakan Zahid melantik beberapa pemimpin Umno, seperti Ketua Wanita, Noraini Ahmad dan Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki masing-masing sebagai pengerusi Risda serta pengerusi Mara, akan membantu mengurangkan kesan keputusan kes mahkamah Najib.

Beliau berkata, pelantikan sebegitu menunjukkan Zahid mengutamakan kepentingan Umno dan beliau masih boleh menjaga parti, walaupun tangannya terikat apabila melibatkan Najib.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berkata, keputusan mahkamah menolak permohonan Najib untuk menyemak sabitan kes SRC International tidak akan memberi kesan kepada parti.

Beliau berkata, mendakwa sebaliknya pula ialah “membesar-besarkan cerita”.

Katanya, wajar bagi Khairy dan Shahril berfikiran begitu kerana mereka dipecat serta digantung keahlian oleh Umno.

“Mereka sebenarnya tak boleh mendakwa tahu dengan tepat sentimen keseluruhan dalam parti,” katanya sambil menambah Umno sudah pasti bersatu bagi menghadapi PRN akan datang kerana parti itu perlu membuktikan nilainya kepada kerajaan sedia ada pimpinan Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.