Mekanik didakwa edar kanabis lebih 60kg

Mekanik didakwa edar kanabis lebih 60kg

Mohd Borhan Saim, 37, didakwa melakukan kesalahan mengedar kanabis seberat 63,120 gram pada 26 Mac lepas.

Mohd Borhan Saim didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini. (Gambar Bernama)
BATU PAHAT:
Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis lebih 60kg bulan lepas.

Mohd Borhan Saim, 37, didakwa mengedar kanabis seberat 63,120 gram di tepi Jalan Kampung Parit Selamat, Mukim 7, Yong Peng di sini, pada 8.30 malam, 26 Mac lepas.

Bapa seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu mengangguk faham selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 30 Mei depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.