
Peguam yang juga aktivit Rajesh Nagarajan berkata, perkara itu disahkan oleh satu surat daripada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPD Shah Alam Shukri Ayob.
Surat itu menyatakan kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada 30 Mac sebelum TPR diarahkan kes itu diklasifikasikan sebagai NFA.
Rajesh berkata, anak guamnya mengarahkan beliau untuk menulis surat kepada Pejabat Peguam Negara bagi mendapat penjelasan mengapa tiada tindakan lanjut diambil, dan menganggap keputusan itu “tidak logik”.
“Kami serah semua bukti kepada polis termasuk identiti dan alamat pelaku, dan juga berpuluh-puluh gambar dan video (penderaan). Jadi keputusan NFA tidak masuk akal,” katanya.
Tambah Rajesh, polis hanya perlu melakukan siasatan “minima” kerana sudah banyak bukti diberi.
Pada Jan lalu, kumpulan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) membuat laporan polis berhubung dakwaan seksaan terhadap anak kera ekor panjang selepas menerima maklumat daripada kumpulan kebajikan, Lady Freethinker, dari Amerika Syarikat dan Action for Primates, dari United Kingdom.
Pelaku didakwa merakamkan seksaan terhadap haiwan berkenaan dan menjual rakaman video itu di kumpulan Telegram dinamakan “Monkey Haters”. Pelaku juga mengenakan bayaran kepada sesiapa di dalam kumpulan itu yang mahu melihat video penuh.
Rajesh berkata rakaman video itu menunjukkan tindakan mencacatkan, memotong, memukul kera dengan objek tumpul, membakar, merebus, dan melapah hidup-hidup.
Katanya, video aktiviti yang dikatakan sebagai ‘porno penyeksaan’ itu turut dijual di seluruh dunia menerusi aplikasi media sosial.