Kerajaan kaji harga 2 peringkat untuk minyak masak

Kerajaan kaji harga 2 peringkat untuk minyak masak

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam proses rundingan dengan mengadakan libat urus bersama pemain industri bagi melaksanakan cadangan itu.

Kegunaan minyak masak domestik hanya 6% sahaja daripada pengeluaran minyak dan selebihnya dieksport.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang mengkaji untuk melaksanakan mekanisme “two tier pricing” atau harga dua peringkat untuk mengawal harga minyak masak di pasaran bagi kegunaan domestik.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata kementerian ketika ini dalam proses rundingan dengan mengadakan libat urus bersama pemain industri berkenaan sebelum cadangan itu dibawa ke peringkat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL).

“Kegunaan (minyak masak) domestik ini hanya 6% sahaja dari pengeluaran minyak masak kita, selebihnya dieksport. Oleh itu, kita sudah pun membawa satu kertas yang belum diluluskan lagi untuk mengadakan ‘two tier pricing’.

“Maksudnya untuk harga domestik lain dan harga eksport lain. Kita tidak boleh guna harga eksport untuk kita jual harga domestik,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2023 bagi kementerian itu di Dewan Negara.

Beliau berkata demikian bagi menjawab celahan Senator Ahmad Azam Hamzah yang mencadangkan kerajaan mengadakan perbincangan dengan pembekal minyak masak berkaitan harga barangan komoditi itu yang kini ditentukan berdasarkan harga pasaran eksport.

Sementara itu, mengulas mengenai inisiatif Jualan Rahmah setakat 30 Mac, katanya ia merekodkan jualan kasar sebanyak RM54 juta membabitkan 3,223 lokasi di 118 Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.