Jelaskan lantikan eksekutif Gamuda ketuai Suruhanjaya Tenaga, C4 beritahu kerajaan

Jelaskan lantikan eksekutif Gamuda ketuai Suruhanjaya Tenaga, C4 beritahu kerajaan

Putrajaya mesti mendedahkan mengapa Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Rashdan Yusof dilantik sedangkan syarikat itu terlibat dalam industri tenaga boleh diperbaharui, kata C4.

Pelantikan Rashdan Yusof mengetuai Suruhanjaya Tenaga menimbulkan persoalan dalam kalangan pemain industri tenaga boleh diperbaharui.(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu menjelaskan rasional melantik eksekutif kanan Gamuda Bhd sebagai pengerusi baharu Suruhanjaya Tenaga (ST), kata sebuah badan pemerhati antirasuah.

Sambil menyuarakan kebimbangan terhadap pelantikan itu, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, Putrajaya mesti berterus-terang dan mendedahkan mengapa Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Rashdan Yusof dilantik ke jawatan berkenaan sedangkan syarikat itu sendiri terlibat dalam industri tenaga boleh diperbaharui.

“Kerajaan perlu menjelaskan kelayakan yang menjadikan (Rashdan) calon sesuai, bagaimana beliau boleh membawa perubahan dalam industri, dan bagaimana proses pemilihan dijalankan.

“Kami mahukan ketelusan dalam proses (pemilihan),” kata Ketua Pegawai Eksekutif C4, Pushpan Murugiah kepada FMT.

Pushpan berkata, melantik pemain industri sebagai ketua ST menimbulkan persoalan berhubung konflik kepentingan dan tidak akan meningkatkan keyakinan pelabur.

Menurut laman sesawang Gamuda, Rashdan menyertai syarikat itu pada 2018 dan menganggotai lembaga pengarahnya. Beliau disenaraikan sebagai pengarah ganti kepada Pengarah Urusan kumpulan, Lin Yun Ling.

Gamuda ialah pemain utama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. Disember lepas, syarikat itu mengumumkan ia membelanjakan RM2 bilion untuk mengembangkan perniagaan tenaga boleh diperbaharuinya.

Sumber memberitahu FMT, pemain industri dan perniagaan kecewa dengan sikap kerajaan berdiam diri mengenai pelantikan itu.

Presiden Transparency International Malaysia, Muhammad Mohan menggesa Rashdan menolak jawatan itu kerana ia akan menimbulkan konflik kepentingan dan mencerminkan tadbir urus lemah dalam ST.

“Sesiapa yang melantiknya nampaknya tidak tahu maksud ‘konflik kepentingan’. Syarikat beliau (Rashdan) sudah pun terlibat dalam perniagaan tenaga dan masih terlibat.”

Beliau berkata, pelantikan sedemikian menyukarkan Malaysia meningkatkan skornya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahunan Transparency International kerana ia mengukur persepsi pakar perniagaan dan perkara berkaitan negara.

“Bagaimana perniagaan dan pakar boleh beri Malaysia markah baik dalam CPI, jika isu tadbir urus asas diabaikan dalam sektor awam?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.