
Hajiji berkata, keputusan Jemaah Menteri untuk mendedahkan laporan tragedi pesawat pada 1976 itu melegakan.
“Ini sesuatu yang melegakan kerana ia akan membongkarkan apa sebenarnya yang berlaku pada hari itu.
“Ia bukan hanya memberi kelegaan kepada keluarga yang terlibat tetapi juga seluruh rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan bersetuju menyahklasifikasikan siasatan nahas pesawat 1976 yang meragut nyawa ketua menteri Sabah ketika itu, Fuad Stephens, dan 10 yang lain.
Anwar berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan laporan itu, sambil menambah ia selaras dengan prinsip ketelusan kerajaan perpaduan.
Dalam kejadian pada 6 Jun 1976, Fuad yang baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai ketua menteri meninggal dunia bersama 10 yang lain termasuk menteri negeri apabila pesawat GAF Nomad yang dinaiki terhempas.
Mereka yang maut termasuk menteri negeri, Salleh Sulong, Chong Thien Vun, dan Peter Mojuntin.
Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas itu bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.
Siasatan selesai kira-kira empat bulan kemudian, tetapi laporan penuh tidak didedahkan kepada umum. Sebaliknya, ia diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.