
Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd Zaki Abdul Aziz Daud berkata peningkatan sebanyak 3% itu berpunca daripada janaan sampah harian dari premis kediaman, perniagaan dan bazar Ramadan.
“Saya menasihatkan orang ramai agar lebih berhemah dalam menyediakan juadah berbuka puasa dan ketika sambutan Aidilfitri bagi mengelak pembaziran makanan kerana pembaziran makanan menyumbang 40% sampah di tapak pelupusan.
“E-Idaman akan melaksanakan penambahan khas kutipan sisa pukal dan kebun di taman perumahan yang dikenal pasti menghasilkan lebihan janaan. Perkhidmatan kutipan sisa dan pembersihan awam juga akan beroperasi seperti biasa malah dilanjutkan pada malam hari perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramadan Kita E-Idaman dengan kerjasama Pejabat Zakat Kubang Pasu, Yayasan Jariah Aafiyat dan Kelab Media Elit Kedah (KMEK).
Sementara itu, pada program berkenaan, sebanyak enam keluarga asnaf di daerah Kubang Pasu terpilih menerima bantuan wang tunai, barangan makanan serta kuih raya bagi meringankan beban dalam menyediakan kelengkapan hari raya.