Sarawak sedia geran bantu bekas banduan buka perniagaan mikro

Sarawak sedia geran bantu bekas banduan buka perniagaan mikro

Kerajaan negeri mengambil inisiatif itu memandangkan kesukaran mereka mendapat pekerjaan apabila bebas.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Fatimah Abdullah, berkata kemahiran dan pengetahuan ketika di penjara boleh dimanfaat memulakan perniagaan sendiri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sarawak bakal menjadi negeri pertama mengambil inisiatif membantu bekas banduan termasuk pemberian geran bagi memulakan perniagaan mikro.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri, Fatimah Abdullah, berkata program dipanggil ‘E-Life’ itu akan bermula tahun ini, memandangkan kesukaran bagi bekas banduan mendapat pekerjaan apabila mereka keluar dari penjara.

“Menerusi E-Life kami menyediakan sistem sokongan di mana kami mendapat kerjasama daripada Jabatan Penjara dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama beberapa agensi lain supaya kita dapat mempunyai program holistik selepas mereka keluar dari penjara.

“Program ini bermula tahun ini dan kami telah menjalankan bengkel tentang bagaimana melakukannya dan sistem pengesanan, pemantauan dan sebagainya agar mereka dapat berdikari nanti.

“Bantuan yang kita berikan adalah satu dalam bentuk geran juga di mana dengan kemahiran yang mereka perolehi dari penjara seperti menjahit, kulinari, landskap dan banyak lagi sebenarnya boleh diguna pakai nanti,” katanya menurut Utusan Borneo.

Fatimah berkata, bagi memulakan perniagaan kecil memerlukan dana dan apa yang diperoleh di penjara sudah pasti tidak mencukupi.

“Jadi kami menyediakan geran kecil untuk membantu mereka memulakan perniagaan kecil-kecilan, supaya mereka dapat menggunakan kemahiran, pengetahuan dan cara mereka dilatih di penjara untuk memulakan perniagaan kecilan mereka dan boleh berdiri atas kaki sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.