Peningkatan kluster pendidikan, KKM saran pelajar, guru disaring Covid-19

Peningkatan kluster pendidikan, KKM saran pelajar, guru disaring Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 11 daripada 18 kluster Covid-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ketujuh 2023 adalah kluster pendidikan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes dan kluster Covid-19 berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan. (Bernama pic)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan kepada sektor pendidikan untuk melakukan saringan kepada pelajar, guru dan kakitangan susulan 11 daripada 18 kluster Covid-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ketujuh 2023 (ME 13/2023) dari 26 Mac hingga 1 April, adalah kluster pendidikan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan berkata daripada jumlah itu enam kluster melibatkan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu tiga kolej dan masing-masing satu di sekolah agama menengah, sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah.

Beliau berkata, lima kluster lagi adalah kluster pendidikan lain iaitu empat di maktab dan satu membabitkan taman asuhan kanak-kanak (taska).

“Peningkatan kes dan kluster Covid-19 ketika ini berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac 2023. Peningkatan kes ini juga disebabkan oleh pergerakan masyarakat yang banyak sewaktu musim cuti sekolah lepas,” katanya.

Justeru, sektor pendidikan disaran untuk menjalankan saringan bergejala terhadap pelajar, guru dan kakitangan sebelum masuk ke kawasan sekolah atau institusi serta menjalankan ujian RTK-Ag ke atas murid, guru, dan kakitangan mengikut strategi pengujian Covid-19.

Selain itu, ibu bapa juga perlu memantau status kesihatan anak dan bertanggungjawab untuk tidak menghantar mereka ke sekolah sekiranya bergejala serta menjalankan penilaian risiko penularan jangkitan Covid-19 di institusi masing-masing dari semasa ke semasa agar tindakan pencegahan segera diambil.

Hisham turut mengingatkan pegawai kesihatan daerah agar kes positif yang dilaporkan pihak sekolah atau institusi pendidikan perlu disiasat dan dijalankan penilaian risiko untuk menilai status penularan jangkitan selain tindakan pembersihan dan disinfeksi serta pengesanan kontak perlu dijalankan.

Selain itu, orang ramai juga disaran untuk terus mengamalkan TRIIS [Test (Uji), Report (Lapor), Isolate (Asing), Inform (Maklum), and, Seek (Dapatkan rawatan)] bagi mengawal penularan Covid-19.

Mengenai perkembangan kes Covid-19, Hisham berkata jumlah kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 24.1% pada ME 13/2023 berbanding ME 12/2023 dengan kumulatif kes baharu sebanyak 5,052,337, manakala 5,004,546 bagi kes sembuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.