Maqis rampas dada ayam sejuk beku RM240,000

Maqis rampas dada ayam sejuk beku RM240,000

Rampasan seberat 25,000kg dari Thailand itu dilakukan kerana maklumat sijil halal tidak jelas.

Maqis Pulau Pinang merampas konsainan dada ayam segar sejuk beku tanpa tulang bernilai RM240,000 yang dibawa masuk dari Thailand. (Gambar Facebook)
BUTTERWORTH:
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas konsainan dada ayam segar sejuk beku tanpa tulang bernilai RM240,000 dari Thailand di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), kerana maklumat sijil halal tidak jelas.

Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd Talib, berkata pihaknya membuat pemeriksaan ke atas kontena yang membawa konsainan itu pada Sabtu lepas dan mendapati terdapat 25,000 kilogram dada ayam segar sejuk beku tanpa tulang yang dibawa masuk dari Thailand.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pengimportan dada ayam segar sejuk beku tanpa tulang bernilai RM240,000 itu tidak menyatakan maklumat sijil halal dengan jelas dan semua konsainan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kegagalan untuk mematuhi syarat permit import bagi pengimportan konsainan itu menjadi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Ikram berkata Maqis sentiasa komited dalam melaksanakan tugasan di semua pintu masuk negara bersama agensi penguatkuasaan di sempadan negara bagi memastikan komoditi keselamatan keluaran pertanian yang dibawa masuk ke dalam negara mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti dan keselamatan makanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.