Guru IT rugi RM78,000, diperdaya tawaran kerja dalam talian

Guru IT rugi RM78,000, diperdaya tawaran kerja dalam talian

Polis berkata mangsa ditawarkan membuat ulasan di tempat-tempat yang terdapat dalam aplikasi Google Maps.

Ketua Polis Alor Gajah Arshad Abu berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
PETALING JAYA:
Seorang guru teknologi maklumat dan komunikasi (IT) di Alor Gajah, Melaka kerugian RM78,000 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Alor Gajah Arshad Abu berkata kejadian berlaku pada 31 Mac lalu apabila guru wanita itu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang individu dikenali sebagai ‘Yasmin’.

“Suspek menawarkan kerja membuat ulasan di tempat-tempat yang terdapat dalam aplikasi Google Maps dan mangsa bersetuju serta menjalankan tugas seperti yang diarahkan.

“Semasa menjalankan tugasnya, guru terbabit diarahkan untuk membuat bayaran ke dalam akaun bank terlibat untuk tujuan membantu menambah keyakinan pelabur terhadap syarikat dan mangsa membuat pembayaran atas dasar pelaburan kepada syarikat suspek,” katanya dalam satu kenyataan.

Arshad berkata mangsa melakukan pindahan wang secara berperingkat pada 1 dan 2 April berjumlah RM78,000 ke dalam akaun yang diberikan suspek.

Katanya, mangsa kemudian menyedari bahawa dirinya telah ditipu dan membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah semalam.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 untuk tindakan pantas menyekat wang yang diserahkan kepada sindiket penipuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.