Populasi menua Asia Timur perlu sokongan keselamatan sosial, kata ahli ekonomi

Populasi menua Asia Timur perlu sokongan keselamatan sosial, kata ahli ekonomi

Laporan Bank Dunia mendapati populasi di negara Asia Timur menua lebih cepat berbanding negara kaya di Barat.

Penuaan akan menjadi isu semakin mendesak dalam beberapa dekad akan datang apabila Malaysia beralih daripada ‘negara menua’ pada 2020 kepada ‘negara tua’ menjelang 2044, kata ahli ekonomi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dasar keselamatan sosial yang komprehensif diperlukan untuk menyokong populasi menua di Asia Timur, termasuk Malaysia, kata ahli ekonomi.

Aaditya Mattoo, ketua ahli ekonomi Bank Dunia bagi rantau Asia Timur dan Pasifik (EAP), mengetengahkan isu ini semasa pelancaran laporan serantau terbaharu bank itu minggu lepas.

Laporan Bank Dunia mendapati populasi di rantau ini, termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Filipina, menua jauh lebih cepat berbanding negara kaya.

Bank itu berkata, saiz populasi usia bekerja semakin berkurangan akan mengecilkan asas caruman yang membiayai pencen, pengangguran dan sistem insurans kesihatan di beberapa ekonomi utama rantau ini.

Aaditya berkata, kebanyakan negara Barat mengambil 50 hingga 60 tahun untuk beralih daripada “menua” kepada “tua”, namun rantau EAP mungkin hanya perlu 20 tahun.

“Pendapatan kita juga lebih rendah berbanding negara Barat apabila meningkat usia,” katanya.

Akibatnya, sistem pencen akan menjadi beban lebih tinggi bagi negara di rantau ini dari semasa ke semasa.

Implikasi bagi Malaysia

Benedict Weerasena, ahli ekonomi di Bait al Amanah berkata, negara seperti Malaysia harus memperkenalkan aturan kerja fleksibel dan sistem keselamatan sosial lebih komprehensif.

“Penuaan akan menjadi isu semakin mendesak dalam beberapa dekad akan datang, apabila Malaysia beralih daripada ‘negara menua’ pada 2020 kepada ‘negara tua’ menjelang 2044, di mana mereka yang berusia 65 tahun ke atas melebihi 14% daripada keseluruhan populasi,” katanya kepada FMT Business.

Skim insurans sosial sejagat bukan saja melindungi pesara, tetapi mereka yang bekerja secara tidak formal atau dalam ekonomi gig.

Walaupun cabaran masyarakat menua sering dibincangkan, Benedict mendapati faedah masyarakat sedemikian boleh dimanfaatkan, termasuk memaksimumkan potensi sektor penjagaan dan rumah persaraan, meningkatkan penjagaan kesihatan warga emas dan menambah baik ekosistem pelancongan warga emas.

“Selain itu, kita harus melihat kepada insentif peluang pekerjaan fleksibel untuk memanfaatkan potensi produktif pekerja lebih tua, terutama mereka yang tidak mampu bersara,” katanya.

Sentimen sama turut disuarakan profesor ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Barjoyai Bardai, yang mencadangkan perlu ada dana menyediakan peruntukan bagi kehilangan pekerjaan untuk sementara waktu.

“Keperluan segera rakyat ialah penjagaan kesihatan mantap. Mereka mengambil lebih banyak ubat (apabila semakin menua) dan jika mereka bukan bekas penjawat awam, mereka membayar lebih mahal untuk produk ini.”

Beliau berkata, warga emas boleh terus bekerja hingga usia 90-an jika mereka mahu, terutamanya dalam profesion seperti perguruan.

Halangan utama, seperti yang dikenal pasti Bank Negara Malaysia (BNM) ialah kekurangan peluang pekerjaan bagi golongan tua memasuki pasaran kerja semula.

Langkah memperkenalkan insentif bagi mengupah pekerja warga emas mungkin perlu untuk mengurangkan isu ini apabila negara semakin menua. Ini akan mengurangkan kesan buruk populasi semakin tua terhadap produktiviti negara.

Menambah baik sistem sedia ada

Banyak cadangan dikemukakan untuk menambah baik sistem keselamatan sosial negara. Malah laporan tahunan BNM 2022 mengemukakan beberapa saranan.

Paling utama ialah pendaftaran sejagat warganegara Malaysia dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mengenal pasti keperluan segmen yang tidak dilindungi, dan menghubungkan faedah hari tua dengan taraf hidup.

Norma Mansor, profesor di Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya, bersetuju dengan perubahan ini.

“Ini asas baik untuk mendaftarkan pekerja Malaysia tanpa mengira majikan, dalam sektor formal dan tidak formal. Ini akan menjadi lebih inklusif selaras matlamat negara tidak membiarkan sesiapa pun ketinggalan. Sumbangan itu juga penting untuk membiayai keseluruhan sistem.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.