KPT tak minat jadi ‘polis universiti’, tegas Khaled

KPT tak minat jadi ‘polis universiti’, tegas Khaled

Menteri pengajian tinggi itu berkata pihaknya menyerahkan kepada pengurusan universiti dan naib canselor memutuskan sama ada membenarkan parti politik masuk ke kampus.

Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin, berkata tumpuan kementerian adalah membangunkan kesarjanaan universiti, bukannya melahirkan graduan ‘taksub’ kepada pemikiran tertentu.
PETALING JAYA:
Kementerian Pengajian Tinggi tidak berminat menjadi ‘polis universiti’, sebaliknya menyerahkan kepada pihak pengurusan universiti dan naib canselor menetapkan garis panduan kebenaran kemasukan parti politik ke kampus.

Menterinya, Khaled Nordin, berkata pihak kementerian tidak pernah menghalang mana-mana parti politik memasuki institut pengajian tinggi awam (IPTA), namun ia mestilah dengan kebenaran kampus.

“Parti politik boleh masuk universiti tetapi dengan kebenaran naib canselor. Mungkin mereka hendak masuk ada program, contoh menteri datang, jadi kena tanya VC (naib canselor) universiti masing-masing.

“Saya sudah beritahu dan tekankan kementerian tidak berminat melakukan ‘educational policing’,” katanya menurut Astro Awani.

Khaled berkata, beliau tidak pernah mengawal universiti.

“Kita hendak masuk rumah orang minta izin. Saya tidak pernah kawal universiti, jangan tanya saya,” katanya.

Dalam pada itu, berhubung penubuhan cawangan politik di universiti, Khaled menegaskan, beliau tidak menyebut parti politik akan dibenarkan menubuhkan cawangan di universiti.

Perkara itu tidak boleh dilakukan kerana pihaknya mahu menumpukan kepada usaha membangunkan kesarjanaan universiti.

“Tidak boleh, tetapi dia (parti politik) boleh masuk tetapi mesti dengan izin ‘tuan rumah’, hendak masuk boleh tetapi jangan tubuh cawangan parti politik,” katanya.

Beliau berkata, pihak kementerian mahu melahirkan graduan berilmu, selain mempunyai kekuatan pemikiran.

“…kita tidak hendak mereka dari awal menjadi ‘taksub’ kepada satu-satu pemikiran, kita nak bangunkan kesarjanaan universiti, setiap universiti kena ada kesarjanaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.