
Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata ini berikutan kes-kes jenayah terbabit memberi kesan emosi yang panjang kepada keluarga mangsa terlibat sekiranya pesalah tidak dikenakan hukuman mati mandatori.
“Apabila dikuatkuasakan (Rang Undang-undang) itu, bagaimana emosi mereka yang kehilangan.
“Harus diambil kesengsaraan (yang dihadapi keluarga mangsa bunuh) dipakai kepada mangsa jenayah berat,” katanya di Dewan Rakyat semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
RUU itu dibentangkan di Dewan Rakyat bertujuan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan; serta untuk mengadakan peruntukan bagi perkara berhubungan dengannya dengan meminda tujuh akta berkaitan.
Akta-akta tersebut ialah Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Penculikan 1961 (Akta 365), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708), Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
Pindaan terhadap kesemua akta berkenaan adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dalam semua perundangan.
Dengan pindaan itu, mahkamah mempunyai nilai budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan atau hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh tidak melebihi 40 tahun.
Sementara itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN- Kuala Krai) pula meminta supaya untuk kes bunuh hak-hak keluarga atau waris mangsa diambil kira oleh mahkamah.
Selain itu beliau juga mempersoal faktor dan kriteria yang diambil untuk tidak dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah kepada pesalah.
“Untuk kes bunuh hak-hak keluarga mangsa perlu diambil kira oleh mahkamah. Hukuman bunuh hanya perlu dijalankan sekiranya terdapat tuntutan oleh keluarga atau waris mangsa,
“Jika dimaafkan pelaku dipertimbang untuk membayar denda atau pampasan kepada keluarga atau waris dan hukuman alternatif boleh dijalankan termasuk hukum sebat,” katanya.