Kandungan TikTok berunsur fitnah, DAP lapor polis

Kandungan TikTok berunsur fitnah, DAP lapor polis

Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, video tular dalam TikTok menuduh parti itu dalang dalam tindakan dilakukan kerajaan perpaduan.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata laporan polis dibuat di IPD Kluang, Johor, hari ini. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
DAP membuat laporan polis berhubung video tular dalam TikTok yang menuduh parti itu dalang dalam tindakan dilakukan kerajaan perpaduan.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata video tersebut mengandungi fitnah terhadap parti itu antaranya melibatkan kajian semula mata pelajaran Pendidikan Islam.

“Antaranya termasuklah isu berkaitan kajian semula mata pelajaran Pendidikan Islam, pencerobohan tanah di Pahang dan juga penjualan mercun yang telah dihalalkan, baru-baru ini.

“Bukan sahaja ini, video itu turut menyiarkan isu berkaitan muslihat menangani masalah perumahan apabila Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) membawa pakar perumahan dari Singapura ke Malaysia, serta harga daging babi yang dikatakan lebih diutamakan kerajaan hari ini,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Menurutnya, kelima-lima isu tersebut dikaitkan dengan DAP sebagai dalang.

“Video ini telah dimuat naik pada 1 Apr menerusi laman Facebook Adun Jengka, Pahang dari Perikatan Nasional, iaitu Shahril Azman Abdul Halim,” katanya.

Sheikh Umar berkata, pihaknya melihat isu tersebut penting untuk membuat laporan polis kerana ianya berunsur fitnah yang boleh menanam kebencian terhadap parti politik DAP.

“Kita bimbang tuduhan palsu seperti ini akan mencemarkan politik tanah air kita dan memangsakan DAP, khususnya lagi beberapa ketika ini kita akan berhadapan dengan pilihan raya di enam buah negeri yang akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.