
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata KPM melalui surat pemakluman sumbangan PIBG pada 15 Sept 2021 memberi peringatan kepada sekolah supaya tidak mengenakan bayaran tambahan dalam sumbangan PIBG dan pematuhan kepada garis panduan disediakan.
“Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa Guru) 1998 membenarkan PIBG untuk mengutip apa-apa sumbangan diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan daripada anggota dan keputusan itu hendaklah dimaklumkan kepada pengarah Jabatan Pendidikan Negeri yang merupakan Pendaftar Negeri.
“Dalam hal ini, Surat Siaran KPM Bilangan 4 Tahun 2011 Garis Panduan Kutipan/Bayaran Keperluan Persekolahan Di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan adalah berkaitan sebagai rujukan pihak sekolah,” katanya pada sesi soal jawab bagi jawapan lisan di Dewan Negara.
Fadhlina turut menyarankan ibu bapa hadir ke mesyuarat PIBG yang dianjurkan pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat dan justifikasi berkaitan caj yuran PIBG yang dikenakan.
“Sekiranya ada aduan haruslah dikemukakan secara mengikut aturan dan proses serta sekiranya ada aduan KPM akan kenal pasti dan akan turun bersama pendaftar negeri iaitu pengarah JPN untuk memastikan pembetulan itu dibuat sama ada melalui mesyuarat atau ditetapkan oleh mana-mana peraturan lain bawah pendaftaran negeri,” katanya.