HKL tak terjejas mogok, operasi seperti biasa di Hospital Serdang

HKL tak terjejas mogok, operasi seperti biasa di Hospital Serdang

Seorang kakitangan Hospital Kuala Lumpur berkata Jabatan Kecemasan berdepan sedikit kekurangan petugas kesihatan, namun operasi tidak terjejas.

Jabatan Kecemasan HKL beroperasi seperti biasa dengan sedikit atau tiada perubahan dalam pengoperasiannya.
KUALA LUMPUR:
Perkhidmatan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Serdang, Selangor, berjalan seperti biasa walaupun dikatakan mogok doktor kontrak berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini.

Tinjauan FMT tidak mendapati sebarang peningkatan pesakit menunggu untuk mendapatkan rawatan, mahupun kekurangan petugas kesihatan di dua hospital itu.

Situasi hampir sama dilihat di Jabatan Kecemasan HKL yang tersibuk dan hospital kerajaan terbesar – sesak seperti biasa dengan sedikit atau tiada perubahan dalam pengoperasiannya.

Kakitangan hospital enggan mendedahkan identitinya berkata, Jabatan Kecemasan berdepan sedikit kekurangan petugas dipercayai doktor kontrak mengambil bahagian dalam mogok.

Bagaimanapun, kakitangan itu berkata, jabatan berkenaan bagaimanapun tidak lumpuh kesan mogok, memandangkan operasinya tidak terjejas.

Seorang pesakit, Sheikh Alauddin, yang hadir bagi pemeriksaan jantung, memberitahu FMT keadaan seperti biasa di hospital.

Sheikh berkata, dia tidak mengetahui sebarang mogok dirancang doktor kontrak.

Di Hospital Serdang, seorang doktor berkata, tiada seorang pun di Jabatan Kecemasan dilaporkan mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan, namun tidak pasti sama ada situasi sama di jabatan lain.

Seorang kakitangan hospital di Klinik Mulut dan Maksilofasial juga, berkata tiada doktor kontrak berkhidmat di situ mengambil cuti.

Dalam pada itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), berkata pihaknya mendapati tiada mogok diadakan di mana-mana kemudahan penjagaan kesihatan di seluruh negara.

Bagaimanapun, Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai, berkata orang ramai masih bimbang dengan jangkaan mogok dan isu itu perlu ditangani.

“Kami berharap, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui mesej yang lebih kerap diuar-uarkan menerusi kenyataan akhbar dan kemas kini media sosial, akan meredakan kebimbangan itu dan meyakinkan orang ramai semua perkhidmatan penjagaan kesihatan awam disediakan tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata semua hospital kerajaan diarahkan dalam “mod berjaga-jaga” bermula hari ini sebagai persediaan berdepan kemungkinan mogok.

Lebih 8,000 doktor kontrak dijangka mogok bermula hari ini hingga Rabu dengan mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan. Mereka membantah apa yang digambarkan sebagai “sistem tidak adil dan gaji rendah”.

Kumpulan perancang mogok, Mogok Doktor Malaysia sebelum ini memberi peringatan waktu menunggu lebih lama di klinik dan hospital kerajaan dalam tempoh tiga hari itu.

Dikatakan, hampir 3,000 doktor kontrak meletakkan jawatan beramai-ramai dalam tempoh berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.