Hapus juga hukuman sebat ‘tak berperikemanusiaan’, Ahli Parlimen PH beritahu kerajaan

Hapus juga hukuman sebat ‘tak berperikemanusiaan’, Ahli Parlimen PH beritahu kerajaan

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata pesalah sanggup berada di penjara setahun lagi berbanding menempuh 'kesakitan dan kecederaan' akibat sebatan.

Gesaan menghapuskan sebatan sebagai hukuman timbul susulan langkah kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan mesti memansuhkan hukuman sebatan terhadap pesalah, kata Ahli Parlimen kerajaan di Dewan Rakyat.

Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, hukuman seumpama itu disifatkannya sebagai “sadis, primitif, dan tidak berperikemanusiaan”.

Katanya, dalam pengalamannya sebagai peguam, beliau mengetahui banduan sanggup berada di penjara setahun lagi, berbanding disebat kerana “kesakitan dan kecederaan melampau” yang akan dihadapi.

“Bagi saya bukan sahaja hukuman mati mandatori ini dimansuhkan tetapi kerana mengikat tangan hakim-hakim, saya berharap juga kalau tidak sekarang, mungkin reformasi dari segi hukuman ini dilakukan sampai pada masanya hukuman sebat di mahkamah sivil pada akhirnya perlu dimansuhkan,” katanya di Dewan Rakyat ketika perbahasan rang undang-undang pemansuhan hukuman mati mandatori.

Dalam maklum balas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, berkata cadangan terbabit akan dipertimbangkan.

“Kami akan mengkaji isu (sebatan) ini dengan lebih mendalam di masa hadapan.” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pemasuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 menerusi undian suara.

Hukuman sebatan dikenakan terhadap pesalah yang disabitkan dengan kesalahan rogol, gangguan seksual, rompakan, dan penculikan.

Amnesty International Malaysia berpandangan hukuman sebat merupakan satu bentuk seksaan, sambil menyatakan hukuman itu bercanggah dengan Konvensyen Menentang Penyeksaan Dan Layanan Atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan Atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT), yang mana Malaysia belum meratifikasikannya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.