Tiada doktor kontrak di Johor mohon cuti mendadak

Tiada doktor kontrak di Johor mohon cuti mendadak

Mogok Doktor Malaysia dikatakan bermogok selama tiga hari di seluruh negara esok menerusi bantahan dengan mengambil cuti kecemasan atau cuti sakit.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu, berkata permohonan cuti juga berlaku seperti biasa, namun mengingatkan mana-mana doktor kontrak didapati terbabit dalam mogok itu akan dikenakan tindakan tatatertib. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiada pengambilan cuti mendadak direkodkan di Johor melibatkan doktor kontrak susulan kemungkinan kumpulan Mogok Doktor Malaysia mengadakan bantahan di seluruh negara, bermula esok.

Kumpulan itu dikatakan akan membuat bantahan dengan mengambil cuti kecemasan atau cuti sakit sebagai membantah “sistem tidak adil dan gaji rendah” dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu, berkata permohonan cuti juga berlaku seperti biasa, namun mengingatkan mana-mana doktor kontrak didapati terbabit dalam mogok itu akan dikenakan tindakan tatatertib.

“Kalau masih berlaku juga (mogok), kita akan berikan nasihat dan teguran terlebih dahulu. Sekiranya mereka terus melanggar, tindakan tatatertib akan dikenakan…itu arahan kementerian.

“Tetapi setakat ini semuanya terkawal, permohonan cuti juga seperti biasa dan tiada pengambilan cuti mendadak direkodkan,” katanya menurut Berita Harian.

Aman ketika mengulas lanjut, berkata, setakat ini pihaknya tidak mempunyai makluman berhubung sebarang perancangan mengadakan mogok oleh doktor kontrak di negeri itu.

“Di Johor, setakat ini tidak berlaku apa-apa konfrontasi atau mogok, sekarang ini kita kawal untuk pastikan tiada doktor yang mengambil bahagian dalam mogok itu, tetapi di luar pengetahuan, kita tidak pasti.

“Kita juga telah menasihati semua pengarah hospital di setiap daerah negeri ini untuk pastikan doktor-doktor mereka hadir ke tempat kerja, esok,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.