Siasat juga bank dikait scam, kumpulan pencarum beritahu BNM

Siasat juga bank dikait scam, kumpulan pencarum beritahu BNM

Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia berkata menghadkan siasatan kepada individu seperti hanya menumpukan pada gejala, bukannya punca.

Pada Rabu, Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata lima bank tidak akan disiasat, dan siasatan hanya tertumpu kepada individu terlibat sahaja. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan hak pekerja menuntut bank pusat menyiasat lima institusi kewangan yang didakwa digunakan oleh sindiket scam antarabangsa, selain dapatan siasatan diumumkan secara terbuka.

Menghadkan siasatan terhadap individu tidak mencukupi, kata Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM).

“Ini adalah kes menangani gejala sahaja dan mengabaikan puncanya,” kata penasihat buruh antarabangsanya, Callistus Antony D’Angelus, dalam kenyataan.

D’Angelus berkata, “ketidakcekapan” pematuhuhan, pengurusan risiko, dan mekanisme kawalan bank terlibat membolehkan sindiket berkenaan menembusi sistem.

Bank Negara Malaysia (BNM) sepatutnya menyiasat semua bank terlibat.

“Kebertanggungjawaban sepatutnya berada pada peringkat tertinggi melibatkan bank berkenaan – di pejabat CEO (ketua pegawai eksekutif).”

Pada Rabu, Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata lima bank tersebut tidak disiasat, dan siasatan hanya tertumpu kepada individu terbabit sahaja.

Katanya, BNM sudah mengarahkan bank melaksanakan kawalan ketat bagi menjaga integriti sistem kewangan.

Pendekatan diambil termasuk pematuhan sejajar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla), melaksanakan usaha wajar kepada pelanggan, dan meneruskan pemantauan aktiviti mencurigakan.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket scam antarabangsa, minggu lalu, melalui Ops Tropicana.

Dilaporkan, sekurang-kurangnya 20 pekerja lima bank terbesar tempatan – termasuk pengaudit dan pekerja barisan hadapan – bersubahat dengan sindiket berkenaan membuka akaun tanpa sebarang halangan.

Akaun terbabit kemudian digunakan scammer mengutip wang tunai yang didepositkan oleh mangsa penipuan, yang mana transaksi boleh mencapai RM1 juta sehari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.