
Larangan itu susulan rancangan satu kumpulan berhasrat mengadakan tiga hari mogok membabitkan doktor kontrak, yang dikatakan akan bermula esok.
Dalam infografik dikeluarkan semalam, pihak kementerian menyenaraikan bentuk perhimpunan haram yang dianggap melanggar surat edaran dikeluarkan ketua pengarah perkhidmatan awam (JPA), bertarikh 30 Jun 2011.
Ia termasuk, penglibatan aktif di luar masa bekerja, menggunakan masa pejabat dan meninggalkan pejabat untuk melihat dan menyertai perhimpunan.
Selain itu, bentuk perhimpunan haram juga merangkumi menggunakan peralatan pejabat seperti mesin cetak, mesin penyalin komputer untuk mencetak dan mengedar risalah berkaitan perhimpunan seumpama itu.
“Sekiranya cukup bukti menunjukkan pegawai terlibat dalam kegiatan tersebut, maka pegawai boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993,” kata KKM.
Kumpulan dikenali, Mogok Doktor Malaysia, sebelum ini berkata, lebih 8,000 doktor kontrak akan melakukan mogok bermula 3-5 Apr dengan mengambil cuti kecemasan atau cuti sakit, sebagai membantah “sistem tidak adil dan gaji rendah” dalam sektor penjagaan kesihatan awam.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan akan berlaku sebarang perhimpunan.
Kumpulan itu juga memberi amaran 3,000 doktor kontrak akan meletakkan jawatan, pada 1 Apr.
Infografik dimuatnaik Kementerian Kesihatan itu, bagaimanapun dikecam warganet yang mendakwa pihak kementerian menekan kebebasan bersuara petugas kesihatan.
Pengguna Facebook, Anas Abd Jalil, berkata kerajaan takut doktor kontrak berdemo, walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim terkenal sebagai “kaki demonstrasi” ketika beliau menjadi pemimpin pembangkang.
Pengguna lain, Lee Lee, pula merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan menjamin semua warganegara berhubung kebebasan bersuara dan mengadakan himpunan aman.
Dalam pada itu, pengguna Abd Razak, berkata larangan terlibat dalam perhimpunan haram bukannya sejak kerajaan perpaduan berkuasa.
“…tetapi sejak kerajaan Najib (Razak) lagi iaitu sejak tahun 2011,” katanya.