KPT tak halang ahli politik anjur program di IPTA, kata menteri

KPT tak halang ahli politik anjur program di IPTA, kata menteri

Menteri pendidikan tinggi berkata bagaimanapun mereka perlu bincang dan maklum pada pihak pengurusan terlebih dahulu.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa dilarang memasuki kampus UiTM untuk sesi dialog #JelajahMansuhAUKU. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menghalang mana-mana pihak termasuk ahli politik memasuki dan mengadakan program di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), di negara ini.

Menterinya, Khaled Nordin berkata, bagaimanapun mereka mahu mengadakan program di IPTA perlulah berbincang dengan pihak pengurusan universiti berkenaan terlebih dahulu.

“Mungkin ada ‘break down’ dalam komunikasi, jadi dalam hal ini kita memang berharap agar kedua-dua pihak dapat berjumpa dan mengaturkan semula program agar dibuat sekali lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Johor.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman beliau dilarang memasuki kampus induk Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menghadiri sesi dialog.

Pada Khamis, bekas menteri belia dan sukan itu dilaporkan berkata, pihaknya kesal kerana dihalang sedangkan hanya mahu mendengar suara mahasiswa selain membincangkan beberapa isu berkaitan dengan mereka.

Semalam, UiTM dipetik sebagai berkata, Mahasiswa Demokratik Malaysia menganjurkan sesi dialog #JelajahMansuhAUKU di universiti tersebut, tidak menggunakan saluran rasmi memohon mengadakan program di Kampus Shah Alam.

Naib Canselor UiTM Prof Dr Roziah Janor dipetik sebagai berkata, sepatutnya aktiviti pihak luar perlu mendapat kelulusan daripada universiti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.