Warga emas dituduh halang anggota MBPJ tangkap anjing liar

Warga emas dituduh halang anggota MBPJ tangkap anjing liar

Patrick Khoo didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Patrick Khoo (kiri) didakwa menghalang pegawai penguat kuasa MBPJ menjalankan tugas semasa operasi menangkap anjing liar.
PETALING JAYA:
Seorang warga emas yang mendakwa dikasari penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Patrick Khoo Kian Wui, 69, didakwa menghalang pegawai penguat kuasa MBPJ menjalankan tugas semasa operasi menangkap anjing liar minggu lalu.

Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa.

Khoo didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan, Khoo didakwa dengan sengaja menghalang anggota penguat kuasa MBPJ, Azizul Azzim Norehan daripada menjalankan tugasnya.

Kejadian itu berlaku di Taman Kanagapuram, Petaling Jaya, kira-kira 9 malam, 22 Mac lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah Fuad menawarkan tertuduh ikat jamin sebanyak RM5,000.

Peguam Rajsurian Pillai, yang dibantu peguam Tay Chee Fu, memohon jaminan lebih rendah, kerana tertuduh sudah berusia dan memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan itu.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Shahril memerintahkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Minggu lalu, tular satu video mendakwa seorang lelaki warga emas dikasari anggota penguat kuasa MBPJ ketika cuba melindungi anjingnya daripada ditangkap.

Dilaporkan, warga emas itu mengalami kecederaan selepas secara tidak sengaja dipukul dengan batang yang digunakan untuk menangkap anjing liar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.