Tetapkan garis masa 3 tahun selesai isu doktor kontrak, kerajaan diberitahu

Tetapkan garis masa 3 tahun selesai isu doktor kontrak, kerajaan diberitahu

Persatuan Perubatan Malaysia memberi amaran lebih ramai doktor kontrak akan meletak jawatan kerana mereka mungkin tidak sanggup menunggu lama.

Kerajaan komited memberi jawatan tetap kepada doktor kontrak, tetapi memerlukan tiga tahun untuk menyelesaikan isu itu, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan mesti menetapkan garis masa tiga tahun dengan tahap kemajuan dicapai bagi menyelesaikan lantikan tetap buat doktor kontrak, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semalam bahawa kerajaan memerlukan tiga tahun untuk menyelesaikan isu itu.

“Kerajaan perlu menetapkan garis masa dengan kemajuan yang perlu dicapai bagi (manfaat) doktor terkesan. Tetapi, ia memerlukan sedikit keyakinan untuk doktor kontrak percaya mereka boleh mendapat jawatan tetap,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan lebih ramai doktor kontrak akan meletak jawatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) kerana sesetengahnya mungkin tidak sanggup menunggu tiga tahun lagi.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, masalah lantikan tetap sudah lama wujud dan kerajaan sedia ada tidak dapat menyelesaikannya dalam tempoh setahun. Sebagai permulaan, katanya, seramai 1,500 doktor kontrak akan diserap ke jawatan tetap tahun ini.

Bagaimanapun, Muruga Raj berkata, pengumuman Anwar bukan perkara baharu kerana bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin pernah menjanjikan jumlah sama bagi lantikan tetap doktor kontrak.

“Ia perlu sekurang-kurangnya dua kali ganda jumlah itu kerana kira-kira 3,000 graduan perubatan akan menyertai sistem itu setiap tahun.”

Ogos lalu, Khairy dilaporkan berkata, sebanyak 1,500 jawatan tetap akan ditawarkan kepada pegawai kontrak setiap tahun.

Sementara itu, MMA turut menyeru kerajaan fokus menyelesaikan isu lain yang tidak memerlukan sebarang komitmen kewangan.

“Sesetengah isu tidak memerlukan sebarang kos untuk diselesaikan, seperti memastikan waktu kerja munasabah untuk keseimbangan kerja-kehidupan, ketelusan dalam kriteria pemilihan jawatan tetap dan memastikan laluan kerjaya betul.”

Muruga Raj berkata, kerajaan juga harus menambah baik persekitaran kerja buat semua kakitangan perubatan di bawah KKM dengan menyingkirkan tindakan buli di tempat kerja.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, MMA mencadangkan ketua jabatan di fasiliti kesihatan awam bertanggungjawab terhadap sebarang isu buli yang timbul di tempat kerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.