Mat Sabu bohong isu tempahan dewan Maeps, kata setpol Sanusi

Mat Sabu bohong isu tempahan dewan Maeps, kata setpol Sanusi

Hilmi Abd Wahab berkata, pihak katering dan pengurusan Maeps sudah bersetuju menyewa dewan itu dengan bayaran RM70,000.

Hilmi Abd Wahab mendakwa Mohamad Sabu berbohong bahawa kementeriannya tidak pernah mengarahkan sewaan dewan Maeps bagi program itu dibatalkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pembantu menteri besar Kedah mendakwa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berbohong mengenai kelulusan program berbuka puasa anak Kedah bersama Sanusi Md Nor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps).

Hilmi Abd Wahab berkata, kenyataan Mohamad bahawa kementeriannya tidak pernah memberi arahan untuk membatalkan sewaan dewan Maeps bagi program itu adalah pembohongan.

Ini kerana katanya, pihaknya bersama syarikat katering dan pengurusan Maeps pada 23 Mac lalu bersetuju menyewa dewan itu dengan bayaran RM70,000.

“Bagaimanapun, pada 29 Mac, saya menerima kiriman WhatsApp daripada pihak katering bahawa kementerian menghubungi pengurusan Maeps dan tidak membenarkan premis di Maeps disewa untuk majlis itu.

“Alasannya kerana gambar menteri besar ada dalam poster majlis dan beliau dijadualkan menghadiri majlis tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Sanusi dilaporkan mendakwa majlis berbuka puasa anjuran pihaknya “diganggu” selepas dilarang menyertai acara anjuran kerajaan pusat.

Katanya, kelulusan lokasi majlis berbuka puasa anak Kedah bersamanya di Maeps, Serdang, dijadualkan pada 9 April ini ditarik balik.

Bagaimanapun, Mohamad semalam dilaporkan hairan dengan dakwaan Sanusi program anjurannya di Maeps dibatalkan sedangkan tempahan belum diluluskan.

“Saya pelik juga dengan dakwaan menteri besar Kedah itu sedangkan pengurusan dewan Maeps belum mengeluarkan apa-apa surat persetujuan menerima tempahan tersebut,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana Sanusi dan PAS boleh menyebarkan poster majlis berbuka puasa anak Kedah di perantauan bersama menteri besar itu sebelum lokasinya disahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.