Bekalan ayam, telur cukup sepanjang Ramadan

Bekalan ayam, telur cukup sepanjang Ramadan

KPDN berkata, pengeluar menyatakan komitmen dan bersedia untuk bekerjasama menyalurkan bekalan di lokasi mengalami gangguan.

KPDN telah mengadakan libat urus bersama kementerian dan agensi lain yang berkaitan, serta pengeluar bagi memastikan isu bekalan dan harga ayam serta telur dapat ditangani secara holistik.
PUTRAJAYA:
Bekalan ayam dan telur dijamin mencukupi sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

KPDN memaklumkan, pengeluar ayam dan telur menerusi Persekutuan Persatuan Penternak-Penternak Malaysia (FLFAM) memberikan jaminan bahawa bekalan mencukupi sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, pihaknya juga mengadakan libat urus bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia serta pengeluar diwakili FLFAM bagi memastikan isu bekalan dan harga ayam, serta telur dapat ditangani secara holistik.

“Pengeluar telah menyatakan komitmen mereka akan bekerjasama dengan kementerian bagi menangani sebarang isu gangguan bekalan ayam dan telur dalam negara dengan menyalurkan segera bekalan ke mana-mana lokaliti mengalami gangguan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, KPDN berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan berhubung pelaksanaan penentuan harga maksimum ayam dan telur bagi tempoh 5 Feb 2022 hingga semalam, kementerian melakukan 183,047 pemeriksaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 2,711 kes direkodkan dengan nilai kompaun berjumlah RM482,400.

“Antara kesalahan dikesan adalah menjual melebihi harga kawalan, kegagalan mematuhi penandaan harga serta kesalahan lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.