Wanita ‘diganggu’ jabatan agama akan fail prosiding hina mahkamah minggu depan

Wanita ‘diganggu’ jabatan agama akan fail prosiding hina mahkamah minggu depan

Wanita itu mendakwa diganggu pegawai agama Islam semalam kerana memfailkan saman bagi membatalkan undang-undang penukaran agama di lapan negeri.

Arun Dorasamy berkata, wanita yang mendakwa diganggu pihak berkuasa agama itu kini bimbang dengan keselamatannya.
PETALING JAYA:
Wanita yang mendakwa diganggu atas saman penukaran agama sebelah pihak akan memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap jabatan agama Islam minggu depan.

Arun Dorasamy, pengarah unit undang-undang Hindu Agamam Ani Malaysia, berkata permohonan itu akan difailkan Isnin depan.

“Dia terkejut dengan kejadian itu, begitu juga plaintif lain selepas mendengar berita itu. Ini perkara serius,” katanya dalam sidang media di sini, sambil menambah tindakan pegawai agama itu sama dengan mengganggu saksi.

Semalam, media melaporkan wanita itu, antara 14 individu dalam usaha membatalkan penukaran agama anak mereka secara sebelah pihak, mendakwa diganggu pihak berkuasa agama di rumahnya.

Peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili wanita berusia 34 tahun itu, memberitahu FMT bahawa lima pegawai dari jabatan agama daerah ke rumah anak guamnya sekitar 3 petang.

Lima pegawai itu dikatakan memarahinya kerana menyaman kerajaan dan didakwa menyoal tiga anaknya, semuanya berumur 10 tahun ke bawah.

Arun berkata, wanita itu kini bimbang dengan keselamatannya dan mempertimbangkan untuk tidak menghantar anaknya ke sekolah.

Awal bulan ini, wanita itu, bersama M Indira Gandhi – ibu beragama Hindu, yang tiga anaknya ditukarkan agama secara sebelah pihak oleh bekas suaminya – memohon untuk membatalkan undang-undang yang membenarkan penukaran agama unilateral di lapan negeri.

Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu.

Mahkamah Persekutuan pada 2018 membatalkan penukaran agama sebelah pihak tiga anak Indira. Di sebalik penghakiman itu, beberapa negeri masih mengamalkan penukaran agama unilateral sejajar enakmen negeri masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.