
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Rafee Ibrahim, berkata pihaknya tahu tentang situasi Umno Melaka dan khabar angin mengenai peletakan jawatan Sulaiman kedengaran sejak lebih enam bulan lalu.
“Pergolakan Umno Melaka kita sedia maklum memang berlaku sebelum ini dan kemuncaknya ialah pengundian Umno yang berakhir minggu lepas,” katanya kepada FMT.
Pada Isnin lepas, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan beliau mahu membincangkan pembentukan kerajaan perpaduan di Melaka bersama Sulaiman – ketika itu masih ketua menteri – dan Pengerusi Umno Negeri Ab Rauf Yusoh, sambil berkata “perubahan landskap politik pasti akan berlaku”.

Semalam, Sulaiman yang juga Adun Lendu, menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Zahid di pejabatnya di Parlimen. Pengerusi Barisan Nasional itu akan menghadap Yang di-Pertua Melaka Ali Rustam untuk mengemukakan nama calon ketua menteri baharu.
“Kita sebenarnya mengambil sikap ‘sideline’ (memerhati) apa-apa keputusan yang dibuat Umno,” kata Rafee, ketika ditanya langkah Pakatan Harapan susulan peletakan jawatan Sulaiman.
Sulaiman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka pada November 2021 selepas BN memenangi PRN.