Rauf dijangka jadi ketua menteri Melaka

Rauf dijangka jadi ketua menteri Melaka

Adun Tanjung Bidara berulang kali dikaitkan dengan jawatan itu sejak BN menang PRN Melaka pada November 2021.

Sumber berkata Ahmad Zahid Hamidi mungkin mencadangkan Ab Rauf Yusoh sebagai ketua menteri Melaka apabila presiden Umno itu bertemu Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh dijangka mengangkat sumpah sebagai ketua menteri ke-14 esok susulan peletakan jawatan Adun Lendu Sulaiman Md Ali.

Sumber memberitahu FMT, Ahmad Zahid Hamidi mungkin mencadangkan Rauf bagi jawatan berkenaan apabila presiden Umno itu bertemu Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam.

Rauf yang juga Adun Tanjung Bidara, sebelum ini berulang kali dikaitkan dengan jawatan itu sejak Barisan Nasional menang PRN Melaka,pada November 2021.

Sebelum PRN Melaka, Sulaiman adalah ketua menteri, manakala Rauf sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN). Sulaiman kemudian dilantik semula sebagai ketua menteri selepas kemenangan besar BN.

Bagaimanapun, khabar angin Sulaiman akan digantikan timbul sejurus keputusan PRN mula diketahui, yang mana Rauf mendakwa ada cubaan melobi pimpinan tinggi parti untuk jawatan ketua menteri. Beliau tidak hadir ketika Sulaiman mengangkat sumpah.

Rauf selepas itu menafikan cakap-cakap berlaku pergeseran dalam kerajaan negeri baharu ditubuhkan, sambil menyatakan Sulaiman disokong semua ketua bahagian Umno negeri.

Rauf kemudian dilantik sebagai exco mengetuai portfolio perindustrian, pelaburan dan pembangunan usahawan negeri.

Pada Disember, Sulaiman menafikan spekulasi akan meletak jawatan daripada menerajui kerajaan negeri susulan laporan beliau didakwa dijangka berbuat demikian pada 3 Jan, untuk memberi laluan kepada Rauf.

Dalam pada itu, Rauf mendakwa ada segelintir pihak cuba merenggangkan hubungannya dengan Sulaiman menerusi khabar angin berniat jahat.

Semalam, Zahid mengesahkan Sulaiman meletakkan jawatan sebagai ketua menteri, dua hari selepas beliau mengumumkan Melaka akan menyaksikan pembentukan kerajaan perpaduan tidak lama lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.