
Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, kumpulan doktor itu juga perlu berhenti menggalakkan peletakan jawatan beramai-ramai kerana ia memberi kesan serius, termasuk mencetuskan krisis penjagaan kesihatan.
Katanya, mogok boleh menyebabkan kesulitan besar kepada mereka yang sakit, cedera dan orang tua bergantung kepada penjagaan kesihatan awam, selain menimbulkan kebimbangan awam.
“Kami ingin mengingatkan kumpulan itu mengenai ikrar ‘tidak mendatangkan mudarat’ yang dilafazkan mereka ketika menjadi doktor.
“Rakan dan ahli keluarga mereka yang bergantung kepada penjagaan kesihatan awam juga boleh terjejas, jika mereka meneruskan mogok. Jadi, kami berharap mereka membuat keputusan bijak dengan membatalkannya,” katanya dalam kenyataan.
Muraga mengulas membalas hantaran di Instagram dimuat naik Mogok Doktor Malaysia yang memberi amaran mengenai tempoh menunggu lebih lama di klinik dan hospital kerajaan ketika mogok dirancang itu berlangsung dari 3 hingga 5 April ini.
Lebih 8,000 doktor kontrak dijangka menyertai mogok itu dengan mengambil cuti sakit atau kecemasan sebagai protes terhadap sistem tidak adil dan gaji rendah.
Kumpulan itu sebelum ini memberi amaran 3,000 doktor akan meletak jawatan pada 1 April ini.
Muraga berkata, peletakan jawatan beramai-ramai itu akan melumpuhkan jabatan di hospital dan menjejaskan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa.
“Jika sesiapa merancang meletak jawatan, lakukan dengan penuh bertanggungjawab dengan memberi notis sewajarnya.”
Semalam, Muruga dilaporkan berkata, MMA tidak menyokong mogok itu, walaupun beliau memahami punca petugas kesihatan berbuat demikian.