
Mereka yang ditemui FMT berkata, Sulaiman menjalankan tugas dengan baik dan pertukaran tidak perlu ini berpotensi menjejaskan ekonomi Melaka.
Peniaga, Hassan Omar, 52, berkata Sulaiman popular dalam kalangan rakyat dan sepatutnya dikekalkan hingga pilihan raya berikutnya.
“Sulaiman seorang yang warak dan berprinsip, jadi saya tidak faham mengapa beliau perlu ditukarkan.
“Disebabkan rakyat menyukai Sulaiman, mungkin lebih baik tunggu sehingga pilihan raya akan datang untuk tukar ketua menteri,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, sekiranya sering bertukar ketua menteri, ekonomi negeri tiada peluang berkembang.
Tukang gunting rambut, Kuhan Raj, 26, juga senada Sulaiman perlu kekal sehingga habis penggal.
“Kami memainkan peranan dengan keluar mengundi, tetapi mereka yang mempunyai kuasa sering membuat keputusan demi kepentingan mereka.”
Pesara yang hanya mahu dikenali sebagai Yunus, 56, menyifatkan keputusan menukar ketua menteri sebagai tindakan politik, bukannya kehendak rakyat.
“Tiada isu dengan Sulaiman. Mungkin Umno merasakan (Adun Tanjung Bidara) Ab Rauf Yusoh mempunyai lebih banyak pengalaman, jadi mereka memilihnya. Kami terpaksa menerimanya.
“Senario politik yang menyebabkan Melaka mengadakan PRN awal pada 2021 disebabkan politik dalaman, jadi kami harap ia tidak berlaku lagi.”
Janice Foo, 24, pula berkata sebagai pengundi, tidak banyak yang boleh dilakukannya, kecuali hanya mampu melihat.
“Ini di luar kawalan kami, tetapi sejujurnya, saya masih keliru mengapa perlu tukar ketua menteri.
“Mungkin saya kurang pengetahuan mengenai politik, tetapi rakan dan keluarga saya memberitahu Sulaiman melakukan tugasnya dengan baik,” kata graduan itu.
Sulaiman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada November 2021, selepas Barisan Nasional (BN) memenangi PRN Melaka. Beliau meletak jawatan semalam.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Rauf dicalonkan sebagai ketua menteri.
Katanya, beliau sudah menghantar nama Rauf kepada Yang di-Pertua Melaka, Ali Rustam. Majlis angkat sumpah dijadualkan pada 3 petang esok.