Hutang kerajaan selesai 2053, kata kementerian

Hutang kerajaan selesai 2053, kata kementerian

Kementerian Kewangan berkata hutang kerajaan dijangka selesai jika tiada sebarang pinjaman baharu dibuat bagi tujuan pembiayaan defisit.

Kementerian Kewangan berkata hutang kerajaan persekutuan sehingga akhir 2022 berjumlah RM1,079.6 bilion atau 60.4% kepada keluaran dalam negara kasar.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan persekutuan dijangka dapat menyelesaikan hutangnya pada 2053 dengan mengambil kira tiada sebarang pinjaman baharu dibuat bagi tujuan pembiayaan defisit dan membiayai semula hutang yang matang mulai 2024 dan seterusnya, kata Kementerian Kewangan.

Menurut kementerian itu, hutang kerajaan persekutuan sehingga akhir 2022, adalah berjumlah RM1,079.6 bilion atau 60.4% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Daripada jumlah itu, hutang dalam negeri adalah sebanyak RM1,050.1 bilion, manakala pinjaman luar pesisir sebanyak RM29.5 bilion.

Sekiranya mengambil kira pendedahan kerajaan kepada liabiliti lain, jumlah hutang dan liabiliti kerajaan persekutuan pada akhir 2022 adalah sebanyak RM1.45 trilion atau 80.9% daripada KDNK.

Jumlah tersebut meliputi hutang kerajaan persekutuan (RM1,079.6 bilion), komitmen jaminan (RM205.9 bilion), 1MDB (RM18.2 bilion) dan liabiliti lain (RM142.2 bilion)

“Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan bayaran khidmat hutang atau ‘debt service charges’ (DSC) dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

“DSC ini diperuntukkan sebagai item tanggungan T13 iaitu salah satu perbelanjaan tanggungan yang terlebih dahulu diberi keutamaan daripada item perbelanjaan yang lain, seperti yang termaktub di bawah Perkara 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan iaitu segala caj hutang adalah di bawah tanggungan kerajaan persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Ia bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin tahu mengenai kadar hutang negara yang mencecah hampir RM1.5 trilion.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan berkata DSC merangkumi bayaran faedah tahunan ke atas hutang terkumpul kerajaan persekutuan dan lain-lain kos pengurusan berkaitan dengan terbitan kertas hutang tersebut.

DSC pada 2018 adalah sebanyak RM30.5 bilion, pada 2019 ialah RM32.9 bilion, pada 2020 ialah RM34.5 bilion dan RM38.1 bilion pada 2021.

Manakala untuk tahun 2022 pula, DSC kerajaan adalah sebanyak RM41.3 bilion, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.