
“Saya pelik juga dengan dakwaan menteri besar Kedah itu sedangkan pengurusan dewan Maeps belum mengeluarkan apa-apa surat persetujuan menerima tempahan tersebut.
“Sebut harga pun belum keluar,” kata presiden Amanah itu di Facebook.
Beliau mempersoalkan bagaimana Sanusi dan PAS boleh menyebarkan poster majlis berbuka puasa anak Kedah di perantauan bersama menteri besar itu sebelum lokasinya disahkan.
“Biasanya, kalau dah pasti baru kongsi. Jika tak pasti, tolong jangan kongsi.”
Tambahnya, program anak Terengganu di Maeps sebelum ini diadakan tanpa sebarang masalah dan berlangsung mengikut jadual.
“Oleh kerana beliau dah kata program anak Kedah akan dibuat di tempat lain, kami kira tak jadilah.”
Terdahulu, Sanusi mendakwa majlis berbuka puasa anjuran pihaknya “diganggu” selepas dilarang menyertai acara anjuran kerajaan pusat.
Katanya, kelulusan lokasi majlis berbuka puasa anak Kedah bersamanya di Maeps, Serdang, dijadualkan pada 9 April ini ditarik balik.
Sanusi pada Rabu mendakwa dilarang menyertai majlis anjuran kerajaan pusat, termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023 dari 23 hingga 27 Mei ini.