Mahkamah benar Jamal tangguh bayar RM300,000 kepada Teresa Kok

Mahkamah benar Jamal tangguh bayar RM300,000 kepada Teresa Kok

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan memerintahkan Jamal Yunos mendepositkan jumlah itu kepada peguam cara Teresa Kok sementara menunggu keputusan rayuan.

Jamal Yunos membuat rayuan penghakiman Mahkamah Tinggi yang dijatuhkan tahun lalu selepas diperintah membayar ganti rugi RM300,000 kepada Teresa Kok kerana memfitnah.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos mendapat penangguhan bersyarat terhadap perintah membayar ganti rugi RM300,000 kepada Teresa Kok daripada DAP kerana fitnah.

Hakim Yaacob Sam berpendapat terdapat merit dalam permohonan Jamal untuk menangguhkan penghakiman sementara menunggu rayuannya.

Turut menjadi panel ialah Hakim Gunalan Muniandy dan Azimah Omar.

Bagaimanapun, mahkamah mengenakan syarat bahawa Jamal perlu mendepositkan jumlah penghakiman ke dalam akaun anak guam peguam cara Kok, SN Nair & Partners, dalam tempoh 21 hari dari hari ini.

Firma guaman dikehendaki memegang jumlah penghakiman sebagai amanah sementara menunggu rayuan itu diselesaikan.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Jamal membayar ganti rugi RM300,000 kepada Kok, selepas bertanggungjawab melakukan fitnah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Arif Imran Arifin, berkata kenyataan Jamal pada sidang media yang diadakan pada 8 Mac 2017 adalah “berniat menyerang plaintif (Kok) secara peribadi dan atas kapasiti profesionalnya sebagai Ahli Parlimen dan ahli politik”.

Jamal mendakwa Kok menggelapkan wang daripada dana negeri Selangor, Yayasan Warisan Anak Selangor.

Dalam tuntutan mahkamahnya, Kok berhujah kenyataan Jamal memberi gambaran dia menyalahgunakan dana negeri dan merupakan seorang yang tidak beretika.

Dia kemudian memfailkan notis kebankrapan terhadap Jamal selepas gagal membayar penghakiman. Jamal dikehendaki membayar jumlah itu dalam tempoh 14 hari mulai 26 Julai 2022.

Kok diwakili Nair dan Jaden Phoon, manakala Jamal diwakili Rejinder Singh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.