Kertas Kabinet Sistem Imigresen Bersepadu Nasional dibentang bulan depan

Kertas Kabinet Sistem Imigresen Bersepadu Nasional dibentang bulan depan

Menteri dalam negeri berkata, antara masalah yang memberi kesan kepada kemajuan sistem itu ialah sumber manusia dan kekangan kapasiti.

Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jemaah Menteri akan membuat keputusan mengenai Sistem Imigresen Bersepadu Nasional selepas pembentangan kertas itu.
PUTRAJAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam proses menyediakan kertas Kabinet berhubung kemajuan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri bulan depan.

Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail, berkata projek itu berjalan dua tahun dari tarikh mula diberikan kontrak, iaitu pada Mac 2021 dan sepatutnya siap Ogos 2025, namun difahamkan ia menghadapi beberapa kesulitan yang menjejaskan perkembangannya.

Beliau berkata, antara yang memberi kesan kepada kemajuan sistem itu ialah masalah berkaitan sumber manusia dan kekangan kapasiti.

“Saya mesti laporkan (kepada Kabinet) apa yang berlaku…selepas dua tahun, bagaimana perkembangannya. Saya tak boleh selindung satu benda pun, saya kena laporkan,” katanya dalam dialog bersama media di sini.

Saifuddin berkata, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ruji Ubi diarah mempengerusikan beberapa mesyuarat untuk memantau kemajuan NIISe secara tepat dalam membantu membuat kertas Kabinet supaya Jemaah Menteri mendapat gambaran tepat mengenainya.

Beliau berkata, Jemaah Menteri akan membuat keputusan mengenai NIISe selepas pembentangan kertas Kabinet itu.

Sementara itu, Saifuddin berkata, KDN menyasarkan untuk memproses 10,000 permohonan taraf kewarganegaraan tahun ini, dengan 5,600 permohonan diluluskan setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.