Kerajaan cadang wajib wakil rakyat jalani pemeriksaan kesihatan

Kerajaan cadang wajib wakil rakyat jalani pemeriksaan kesihatan

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata pemeriksaan kesihatan itu dicadangkan dilakukan sekali setahun ketika sidang Dewan Rakyat.

Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan bercadang mewajibkan wakil rakyat melakukan pemeriksaan kesihatan sekali setahun semasa sesi persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia bagi mengesan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) membabitkan wakil rakyat selaras usaha negara dalam membendungnya.

“Ya (wajibkan lakukan saringan), tidak kira wakil rakyat kerajaan atau pembangkang. Ini untuk kepentingan bersama.

“Sebelum ini speaker Dewan Rakyat cadang supaya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

“Tetapi Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) mencadangkan pemeriksaan kesihatan ini diadakan sekali setahun ketika persidangan Dewan Rakyat berjalan di bangunan Parlimen,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ANMS di Parlimen.

Zahid berkata, berdasarkan rekod sebelum ini, sepanjang tempoh 2018 hingga 2020 sahaja terdapat sembilan wakil rakyat meninggal dunia ketika masih berkhidmat.

“Wakil rakyat sama ada Adun atau Ahli Parlimen meninggal dunia ketika sedang berkhidmat. Betul, kita tidak mendahului hukum Allah, tetapi kita lihat ini satu bukti, terdapat sembilan wakil rakyat yang meninggal dunia bukan disebabkan penyakit berjangkit tetapi NCD,” katanya.

Katanya, antara penyakit NCD yang biasa dihidapi wakil rakyat ialah masalah buah pinggang, diabetes, serangan jantung dan kanser.

Dalam pada itu, Zahid memaklumkan mesyuarat berkenaan turut memutuskan untuk melaksanakan kempen kesedaran melakukan saringan kesihatan secara besar-besaran.

“Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS 2019) mendapati satu daripada lima rakyat Malaysia menghidapi diabetes, tiga daripada 10 rakyat mempunyai tahap kolestrol yang tinggi, satu daripada dua rakyat mempunyai berat badan berlebihan atau obese yang meningkatkan faktor risiko penyakit kronik.

“Paling paling menakutkan 73% kematian adalah disebabkan oleh NCD,”katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.