Judi dalam talian: 21 individu termasuk 3 wanita ditahan

Judi dalam talian: 21 individu termasuk 3 wanita ditahan

Sindiket dipercayai beroperasi sejak Februari lepas dan beroperasi 12 jam setiap hari bermula dari 12 tengah hari.

Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai, berkata 18 lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 45 tahun yang ditahan didapati menyasarkan mangsa warga Hong Kong bagi mengaut keuntungan.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan 21 individu warga tempatan disyaki terlibat kegiatan pusat panggilan judi dalam talian di sebuah kondominium di Plaza Arkadia, Desa Park City, Ahad lepas.

Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai, berkata 18 lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 45 tahun yang ditahan kira-kira 3 petang itu didapati menyasarkan mangsa warga Hong Kong bagi mengaut keuntungan.

“Hasil serbuan, polis mendapati premis itu digunakan untuk mempromosikan judi dalam talian dengan menggunakan platform laman web perjudian www.Aeclub365.com. Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak Februari lepas dan waktu bekerja adalah 12 jam setiap hari bermula dari 12 tengah hari.

“Lapan daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau. Seorang daripada mereka yang berusia 35 tahun merupakan penyelia sindiket perjudian tersebut manakala yang lain adalah pegawai khidmat pelanggan,” katanya pada sidang media di IPD Sentul hari ini.

Beliau berkata, penyelia menerima bayaran gaji sebanyak RM10,000 manakala pegawai khidmat pelanggan yang ditugaskan mencari pemain atau pelanggan kira-kira lima orang sehari melalui WhatsApp dan Facebook, dibayar sekitar RM4,000.

“Setelah dapat pemain, para pemain akan diarahkan memasukkan wang ke dalam akaun judi yang disediakan bagi mendapatkan nilai kredit bagi membolehkan mereka bermain judi di mana-mana platform aplikasi judi dalam talian berkenaan.

“Setiap pelanggan dikehendaki memasukkan wang minimum sebanyak HK$100 sebagai syarat pendaftaran menjadi ahli. Sindiket ini telah berjaya mengaut keuntungan sekitar HK$600,000 (RM336,314.35) dalam tempoh sebulan beroperasi,” katanya.

Beh berkata polis turut merampas sejumlah barangan antaranya 21 komputer dan 65 telefon bimbit yang dianggar bernilai RM400,000.

Katanya semua suspek direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang mencurigakan melibatkan sindiket seumpama itu dengan menghubungi IPD Sentul di talian 03-4048 2222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.