Bentuk Kabinet bayangan rasmi, tunjuk kelayakan ‘alternatif’, KJ beritahu PN

Bentuk Kabinet bayangan rasmi, tunjuk kelayakan ‘alternatif’, KJ beritahu PN

Bekas ketua Pemuda Umno berkata PN seharusnya menaikkan imej menteri Kabinet bayangan supaya rakyat tahu siapa mereka.

Khairy Jamaluddin berkata pembentukan Kabinet bayangan PN perlu bagi membuktikan kelayakan ‘alternatif’ dalam memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan.
PETALING JAYA:
Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mencadangkan Perikatan Nasional (PN) membentuk Kabinet bayangan yang dilancarkan sebelum ini secara rasmi bagi membuktikan kelayakan “alternatif” dalam memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan.

Beliau berkata, langkah itu adalah perkembangan positif dibuat PN yang mewujudkan Kabinet bayangan buat kali pertama.

“Sebelum ini waktu Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional menjadi pembangkang, kita tiada Kabinet bayangan. Sebaliknya kita ada jawatankuasa dengan hanya beberapa orang dipertanggungjawabkan untuk menjadi jurubahas di Parlimen berkenaan isu tertentu.

“Tapi kali ini hanya seorang sahaja, maknanya dia telah melantik seorang menteri bayangan. Kalau saya di pihak PN, saya akan menaikkan imej menteri bayangan tersebut supaya rakyat tahu siapa menteri itu,” katanya dalam podcast “Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan” yang dimuat naik hari ini.

Mengambil contoh di United Kingdom, Khairy berkata, sebahagian besar pemerhati politik akan tahu siapa menteri bayangan portfolio tertentu.

“…dan merekalah yang akan buat kenyataan dengan segera selepas satu isu ditimbulkan dan media turut akan menantikan komen daripada menteri bayangan tersebut.

“Tetapi di sini kita tak tahu siapa menteri tersebut sedangkan ia tidak rasmi di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, parti berkenaan boleh meminta berunding supaya sesi soal jawab perdana menteri (PMQ) pada masa akan datang lebih bersifat pertembungan dengan membuka satu sesi antara menteri dengan pembangkang sahaja bagi tempoh 10-15 minit tanpa melibatkan Ahli Parlimen lain.

“Itulah pentas yang dapat menunjukkan bahawa pembangkang pun dapat menjalankan tugas semak dan imbang kepada kerajaan dengan baik, manakala ketua pembangkang pula dilihat sebagai seorang perdana menteri ‘alternatif’ sebagaimana yang berlaku ketika kes Keir Starmer di UK pada waktu ini,” katanya.

Pada 2 Feb lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin melancarkan Kabinet bayangan gabungan itu. Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menjelaskan senarai jawatankuasa portfolio PN diumumkan itu bukan Kabinet bayangan gabungan berkenaan.

Beliau berkata, ketua portfolio yang dilantik itu adalah untuk meneliti, mengkaji dan menjuarai isu membabitkan kementerian berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.