
V Ravindran, yang pernah berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi dan Prasarana Malaysia Bhd berkata, bas mini boleh membantu mengatasi masalah perbatuan pertama dan terakhir yang membuatkan ramai penduduk Petaling Jaya keberatan hendak menggunakan pengangkutan awam, terutama kereta api.
“Di Petaling Jaya, ramai lebih suka menghadapi kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan, LDP, NKVE atau SPRINT disebabkan perkhidmatan bas yang perlahan, tidak teratur atau tiada untuk ke stesen kereta api, membuatkan mereka lebih selesa menggunakan kereta sendiri,” katanya kepada FMT.
Ravindran mengulas laporan FMT mengenai kesesakan lalu lintas di Petaling Jaya, khususnya di sepanjang jalan dalam yang dijadikan laluan alternatif oleh pengguna jalan raya untuk mengelak daripada kesesakan di Lebuhraya Persekutuan.
Beliau berkata, sistem perkhidmatan van transit atas permintaan (Demand-Responsive Transport) atau DRT berdasarkan bas mini adalah ideal. Ia akan melibatkan kumpulan bas mini yang beroperasi di kawasan berdasarkan permintaan dan bukannya jadual.
Orang ramai boleh menggunakan aplikasi untuk mendapatkan perkhidmatan bas mini, katanya.
“Kenderaan lebih kecil (seperti bas mini) boleh dibawa dengan mudah dalam mod yang tepat pada masanya dan selamat, melalui ruang sempit seperti kawasan perumahan atau jalan dalam yang akhirnya mengurangkan kesesakan dan jumlah kenderaan di jalan utama serta lebuh raya,” katanya.
Ravindran berkata, sistem DRT digunakan secara meluas di UK dan negara lain. Awal bulan ini, projek perintis DRT dilancarkan di Bandar Puteri Puchong meliputi 17 kawasan kediaman dan 20 kawasan komersial.
Kerajaan Selangor juga akan memperkenalkan sistem DRT sendiri menggunakan van tahun ini.
Beliau juga berkata, penyelesaian penyuraian trafik seperti PJ Dispersal Link (PJD Link) yang dicadangkan boleh membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu dan menghubungkan pemandu, teksi, bas dan kenderaan e-panggilan ke mod pengangkutan awam yang lain.
“DRT atau sistem bas terancang yang berfungsi seiring dengan penyuraian penghubung jalan raya juga amat penting,” katanya.
Laluan PJD sepanjang 25.4km itu akan menghubungkan lima landasan kereta api utama iaitu LRT3, MRT1, LRT Kelana Jaya, KTM Komuter dan LRT Sri Petaling.
Ia juga dijangka memudahkan trafik di LDP, NPE, Lebuhraya Persekutuan, Kesas, dan Lebuhraya Bukit Jalil.
“Pada masa ini, jalan dalam dan kawasan perumahan menerima beban trafik tambahan yang melambatkan keluar masuk penumpang komuter ke rumah mereka,” kata Ravindran.
Ia menyumbang kepada jalan yang rosak, pencemaran, penurunan harga hartanah, dan kekecewaan bagi penumpang dan pemilik rumah.
“Lebuh raya yang direka untuk menyuraikan aliran trafik dengan cepat dan lancar dengan sistem pengangkutan awam yang berkesan akhirnya akan melegakan banyak kesesakan di lebuh raya semasa dan jalan dalam di Petaling Jaya.”