Aplikasi batal pendaftaran kenderaan dibangun, pengguna tak perlu ke JPJ

Aplikasi batal pendaftaran kenderaan dibangun, pengguna tak perlu ke JPJ

Timbalan menteri pengangkutan berkata langkah itu bagi mengatasi masalah lambakan kenderaan tidak sesuai digunakan atas jalan raya.

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata pembatalan pendaftaran secara dalam talian hanya melibatkan kenderaan kerap rosak dan tidak boleh digunakan.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pengangkutan membangunkan aplikasi dan kaedah digital lain bagi pembatalan pendaftaran kenderaan secara dalam talian tanpa pengguna perlu ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kata Timbalan Menteri Hasbi Habibollah.

Katanya, langkah itu dalam usaha mengatasi masalah lambakan kenderaan tidak lagi sesuai digunakan atas jalan raya serta mengurangkan pencemaran kepada alam sekitar.

“Dalam hal ini, kementerian melalui JPJ sedia bekerjasama dengan agensi terlibat untuk mengkaji hala tuju jangka masa panjang mengenai perkara ini termasuk mengkaji konsep pelupusan kenderaan usang.

“Pelaksanaan sistem pelupusan ini berupaya menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan jalan raya, mengurangkan pencemaran daripada kenderaan lama dan berusia serta merancakkan permintaan kenderaan yang akan menyumbang kepada kelestarian sektor automotif negara,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat), mengenai usaha kerajaan menguruskan pelupusan kenderaan buruk dan ELV (End Life Vehicle) selain menjaga kelestarian alam sekitar.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata, dalam tempoh pembangunan aplikasi itu, pengguna masih boleh hadir ke kaunter JPJ bagi tujuan pembatalan pendaftaran kenderaan.

Sementara itu, ketika ditanya Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai langkah tersebut bakal menjejaskan rakyat miskin menggunakan kenderaan lebih 10 tahun sebagai mata pencarian, Hasbi berkata perkara itu tidak dilibatkan dan hanya untuk kenderaan rosak.

“Yang dimaksudkan di sini kereta betul-betul rosak, yang dah tak boleh dibawa, mati di jalan raya. Pemilik perlu tahu kenderaannya selamat atau tidak untuk dibawa kerana pemilik sendiri pakai. Kita menyeru tuan punya kenderaan usang untuk beri kerjasama.

“Yang penting kena ada penyelenggaraan kereta, ada yang dah guna berpuluh tahun tapi masih dalam keadaan baik. Kita hanya mahu ia dilupuskan secara sistematik, bersih, tidak hanya letak sana sini kalau tidak guna kereta tu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.