
Isnin lalu Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Ahmad Khusairi Yahaya, berkata tahap korupsi dalam kalangan anggota penguat kuasa dilihat “semakin kronik dan membimbangkan”, apabila ada segelintir daripada mereka sering menjadikan warga asing sebagai sasaran mengaut rasuah.
Dalam usul itu, Lim berkata pegawai penguat kuasa undang-undang yang terlibat rasuah menjadi penyumbang kepada ancaman keselamatan negara dan meminta Dewan Rakyat mengambil langkah segera untuk menangani isu itu.
“Dewan Rakyat harus membahaskan isu mustahak ini dan mendapatkan penyelesaian jangka pendek dan panjang untuk menghentikan amalan keji ini,” katanya.
“Dewan juga harus membincangkan jika agensi penguat kuasa harus berada bawah bidang kuasa Parlimen secara langsung.
“Ini perlu dilakukan segera kerana ia bukan lagi perkara terpencil. Jika amalan rasuah dalam kalangan anggota agensi kerajaan tidak dihentikan, ia akan membantutkan ekonomi kerana kurangnya kepercayaan pelabur pelabur tempatan dan antarabangsa.”
Ahli Parlimen DAP itu berkata, pegawai penguat kuasa yang terlibat rasuah juga memberi gambaran buruk kepada kerajaan.
Usul itu difailkan semalam bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) diterima pejabat Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul hari ini.