
Perdana menteri berkata, mengikut peraturan dan perundangan semasa, SPRM merupakan badan bebas yang tidak tertakluk kepada arahan perdana menteri.
“Sebab itu bila saya ambil alih (menjadi perdana menteri), saya tidak memilih untuk menukar ketua pesuruhjaya SPRM yang dilantik oleh Pagoh (Muhyiddin Yassin) untuk tidak menimbulkan persepsi bahawa seorang perdana menteri baharu akan melantik seorang ketua SPRM baru, sebab itu saya kekalkan.
“Dan peruntukan undang-undang sekarang ini menjamin kebebasan SPRM tidak tertakluk di bawah di bawah arahan perdana menteri,” katanya.
Beliau berkata menjawab soalan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berhubung cadangan meletakkan agensi itu di bawah Parlimen dan bukannya di bawah Jabatan Perdana Menteri, dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat.
Azam dilantik menerajui SPRM pada 9 Mac 2020 ketika pentadbiran Muhyiddin menjadi perdana menteri, menggantikan Latheefa Koya yang memilih memendekkan perkhidmatannya selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dalam Langkah Sheraton.
Anwar ketika mengulas lanjut, kerajaan tidak mempunyai masalah menimbangkan cadangan meletakkan SPRM di bawah Parlimen.
“Syor menambah baik fungsi SPRM perlu dikemukakan jawatankuasa pilihan khas untuk diteliti supaya keupayaan SPRM itu dapat ditingkatkan, tidak ada kekangan dan campur tangan dibimbangi menjejaskan setiap usaha membanteras rasuah,” katanya.