
Khaled berkata, tiada isu adanya akreditasi MQA terhadap program TVET di politeknik kerana bukannya institusi lain yang mengeluarkan sijil.
Beliau berkata, pihaknya sudah memberitahu MQA untuk tidak melihat politeknik sama seperti universiti selepas mengambil alih jawatan menteri, maka wujudnya kelonggaran dari segi akreditasi program yang dilakukan oleh politeknik.
“Kita turut membenarkan pemindahan kredit dari program diploma politeknik ke dalam program ijazah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) bagi menggalakkan ramai anak muda sambung belajar melalui TVET ke peringkat lebih tinggi.
“Maknanya dia tak masuk tahun satu dia mungkin masuk sem 2 kalau dia ada diploma politeknik,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di peringkat jawatankuasa kementerian.
Tambahnya, wujudnya institusi TVET yang menawarkan ijazah mahupun program PHD melalui MTUN antaranya Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Tun Hussein Onn.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim berkenaan penubuhan majlis TVET dalam usaha memperkasa institusi tersebut supaya ia tidak dijadikan sebagai ‘kelas pengajian kedua’.
Dalam pada itu, Khaled berkata, pelbagai usaha sedang dilakukan oleh kementerian termasuk merancakkan konsep industri ‘lab politeknik’ dengan iaitu politeknik yang diterajui oleh pihak industri.
“Kita mahu institusi TVET mempunyai hubungan yang akrab dan serius dengan pihak industri sebagaimana kita tekankan juga hubungan dengan pihak universiti,” katanya.
Khaled turut menyeru kesemua Ahli Parlimen untuk bersama membantu membetulkan persepsi masyarakat bahawa negara sebenarnya memerlukan generasi masa depan yang lebih mahir dalam bidang yang disediakan melalui TVET, bukan semata-mata melalui universiti awam atau swasta sahaja.