
“Apabila kita membolehkan mahasiswa mengurus kewangan mereka, termasuk mendapat dan mencari dana, kebergantungan kepada universiti untuk pembiayaan segala aktiviti pelajar wajar dan sepatutnya dikurangkan.
“Sebab itu maksudnya apabila diberi kebebasan, masih nak lari ke kementerian ataupun kerajaan untuk mendapatkan duit,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di peringkat jawatankuasa kementerian.
Menurut Khaled, pindaan berkaitan urusan akaun dan kewangan persatuan mahasiswa itu masih dalam proses dan mungkin akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.
Dalam pada itu, Khaled berkata, kebenaran untuk mana-mana pemimpin politik masuk ke universiti adalah di bawah kuasa autonomi universiti itu sendiri dan bukannya kementerian.
“Kementerian tidak mengeluarkan sebarang arahan bagi menghalang mana-mana pemimpin politik masuk ke universiti. Ini selalu ada salah faham. Kementerian kita tak jaga hal itu.
“Itu di bawah kuasa autonomi universiti. Tiada masalah untuk memasuki universiti, tapi sekurang-kurangnya maklum kepada mereka (pihak berkuasa universiti),” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-PN) yang membangkitkan isu pemimpin politik pembangkang yang tidak dibenarkan untuk memasuki universiti sebelum itu.
Khaled turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan mana-mana parti politik menubuhkan cawangannya di universiti.
“Mengenai isu penubuhan cawangan di universiti yang dibangkitkan, maknanya rata-rata bersetuju tak boleh, tak wajar diwujudkan cawangan politik dalam universiti.
“Jadi, saya anggap itu satu keputusan yang diterima oleh semua. Saya beri jaminan takkan ada cawangan parti politik ditubuhkan dalam universiti,” katanya.
Sementara itu, mengulas isu objektif penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang dipersoalkan kerana menerima tajaan daripada negara lain, Khaled menegaskan ketika ini universiti tersebut bergantung 100% yuran daripada peruntukan kerajaan.
“Saya beri jaminan ia masih kekal objektif penubuhannya, UIA tidak lagi menerima tajaan daripada negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya.