
Bekas ketua penerangan Bersatu itu berkata, tindakan kerajaan PH-Umno tersebut akan memusnahkan usaha menggalak penabungan pendidikan demi mengurangkan kebergantungan rakyat kepada hutang bagi membiayai pendidikan anak-anak.
“Akibat tindakan PH-Umno ini, anak muda akan terus bergantung kepada hutang PTPTN. Kenapa anak muda dilayan sebegini?
“Pemansuhan pelepasan cukai ini menyerlahkan sikap anti-rakyat PH-Umno dan membuktikan mereka ada dendam terhadap anak muda yang rata-rata memilih Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Wan Saiful, pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan SSPN adalah insentif yang beliau usahakan ketika menjadi pengerusi PTPTN untuk menggalakkan rakyat menabung demi masa depan anak bangsa.
“Saya mahu penyelesaian jangka panjang agar anak bangsa kita tidak terbeban dengan hutang selepas graduasi. Penabungan awal adalah jawapan jangka panjang yang sebenar, sekiranya kerajaan tidak mahu memberikan pendidikan tinggi percuma.
“Saya dan pegawai-pegawai kanan PTPTN naik turun pejabat Menteri Kewangan dan Pejabat Perdana Menteri berkali-kali pada 2018 dan 2019 untuk merayu kenaikan pelepasan cukai bagi simpanan SSPN dari RM6,000 ke RM8,000 sebagai penggalak penabungan lebih besar,” katanya.
Wan Saiful berkata, beliau berjaya mendapatkan persetujuan kerajaan bermula Belanjawan 2019 dan hasil daripada usahanya itu, jumlah deposit tahunan SSPN melonjak dari tahun ke tahun.
“Pada tahun 2017, jumlah deposit hanya RM 726.84 juta sahaja. Apabila saya mengambil alih jawatan Pengerusi PTPTN pada 2018, saya memulakan penekanan kepada penabungan.
“Hasil usaha keluarga PTPTN, jumlah deposit SSPN meningkat signifikan menjadi RM1.14 bilion (2018), RM1.37 bilion (2019), RM1.99 bilion (2020) dan RM3.01 bilion (2021),” katanya.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Nizom Sairi mengumumkan pencarum SSPN tidak akan menikmati pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 mulai Tahun Taksiran 2023.
Katanya, perkara tersebut adalah keputusan kerajaan atas dasar dan keadaan bersesuaian, namun ia bergantung kepada rakyat (pembayar cukai) untuk dilihat semula.